Saintis Temui Virus Tak Dikenali Berusia 15,000 Tahun di Dalam Glasier

Sekumpulan saintis dari Pusat Penyelidikan Kutub and Iklim Byrd, Universiti Ohio telah menemui hampir 30 jenis virus tidak dikenali yang terperangkap di dalam glasier di dataran tinggi Tibet.

Hasil penyelidikan yang baru sahaja diterbitkan dalam jurnal Microbiome pada 20 Julai 2021 (link>>) melaporkan sejumlah 33 virus telah ditemui terperangkap di dalam 2 sampel ais yang diambil dari glasier pada ketinggian 22,000 kaki dari aras laut di selatan China pada tahun 2015. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 28 jenis virus tidak pernah direkodkan oleh saintis sebelum ini.

Penyelidikan tersebut juga mendapati virus tersebut berasal dari tanah dan tumbuhan, bukannya dari manusia ataupun haiwan. Oleh itu, ianya dapat bertahan ribuan tahun di dalam keadaan yang ekstrem. Jadi, jangan bimbang. Virus ini dilaporkan tidak merbahaya kepada manusia.

Bagaimanakah virus ini boleh terperangkap di dalam glasier?

“Glasier terbentuk secara perlahan dan mengambil masa yang panjang untuk membeku. Dalam tempoh itu, pelbagai jenis habuk dan gas, termasuk virus turut sama terperangkap di dalam glasier tersebut”, ujar Zhi-Ping Zhong, salah seorang ahli mikrobiologi yang terlibat dalam kajian tersebut. Menurutnya lagi, kajian ini dapat memberi gambaran dan maklumat kepada saintis tentang keadaan persekitaran pada masa glasier itu terbentuk.

Glasier terbentuk dengan perlahan, lapis demi lapis, dan memerangkap apa sahaja yang ada di dalam atmosfera ketika pembentukan setiap lapisan ais itu. Oleh itu, kajian terhadap lapisan glasier ini dapat menceritakan garis masa selama ribuan tahun tentang keadaan persekitaran berkaitan perubahan iklim, mikrob, virus, dan gas.

“Kaedah baru yang dibangunkan oleh Zhi-Ping Zhong ini juga sesuai digunakan untuk mendapatkan maklumat genetik dari persekitaran yang sejuk melampau seperti di Marikh, Bulan, dan juga di Gurun Atacama”, tambah Matthew Sullivan, profesor mikrobiologi dari Universiti Ohio yang juga terlibat dalam penyelidikan ini.

Lonnie Thompson, juga merupakan seorang professor di Universiti Ohio berkata, pandemik Covid-19 telah membuka mata banyak pihak tentang kepentingan kajian mikrobiologi ini. Ujarnya lagi,“Terlalu sedikit pengetahuan kita tentang keadaan sebenar virus dan mikrob dalam keadaan yang ekstrem ini.

Dokumentasi dan pemahaman tentangnya amatlah penting; Bagaimanakah bakteria dan virus bertindak balas terhadap perubahan iklim? Apakah sebenarnya yang berlaku dari Zaman Ais dahulu sehinggalah ke zaman kita sekarang yang panas?”

Scroll to Top