Sebagai seorang pelajar IPT, ahli akademik, penyelidik, ataupun saintis, pasti tidak dapat lari daripada penulisan kertas kerja akademik.
Penulisan jenis ini amat berbeza dengan penulisan umum berbentuk penceritaan seperti novel atau buku cerita.
Penulisan akademik bertujuan untuk berkongsi hasil kajian kita, iaitu pengetahuan atau penemuan yang baru kepada dunia. Kebiasaannya, ia diiringi dengan pembentangan di dalam seminar, persidangan, mahupun kolokium.
Walau bagaimanapun, kebanyakan jurnal berimpak tinggi tidak memerlukan penulis kertas kerja membuat pembentangan, tapi syarat-syarat yang dikenakan untuk menerbitkan kertas kerja tertentu adalah lebih ketat.
Admin akan cuba kongsikan kepada anda semua perihal penulisan kertas kerja akademik yang baik menerusi beberapa siri hantaran di laman BLOG ini.
Di dalam bahagian pertama ini, admin akan membincangkan secara umum mengenai kertas kerja akademik.
Apakah itu kertas kerja akademik? Kertas kerja akademik merupakan sebuah komunikasi bertulis yang menjelaskan tentang kajian anda secara menyeluruh dan terperinci, termasuk (tapi tidak terhad kepada) bahan dan peralatan yang digunakan, kaedah kajian, subjek kajian, hasil kajian (kebiasaannya dalam bentuk graf atau jadual), dan rumusan kajian.
Gaya penulisan yang digunakan pula adalah penulisan teknikal. Contoh mudah penulisan teknikal adalah resepi masakan ataupun modul cara mengendalikan telefon pintar. Ianya jelas, ‘straightforward’, dan biasanya menggunakan istilah jargon yang khusus untuk bidang tertentu.
Asasnya, komponen sesuatu kertas kerja akademik yang melibatkan kajian lapangan atau eksperimen terdiri daripada abstrak, pendahuluan, kaedah kajian, dapatan kajian, perbincangan, dan rumusan kajian.
Terdapat juga kertas kerja ulasan (review paper) yang mempunyai komponen yang sedikit berbeza. Walau bagaimanapun, tujuan kertas kerja akademik adalah untuk membentangkan penyelesaian ke atas pernyataan masalah kajian dan untuk berkongsi ilmu pengetahuan baru hasil dari kajian kita.
Perbincangan lanjut berkenaan penulisan kertas kerja akademik akan disambung dalam Bahagian 2.
Pastikan anda ikuti BLOG kami supaya anda tidak terlepas sebarang maklumat seterusnya.
Apakah pendapat anda berkenaan hal ini?
Kongsikannya di ruangan komen. Kami amat berbesar hati untuk mendapatkan maklum balas dari anda semua.
Semoga hantaran ini bermanfaat untuk anda.



