Mari kita berhibur!
Situasi 1
Pada suatu hari, 3 orang saintis pergi bercuti ke tepi pantai. Mereka terdiri daripada ahli fizik, ahli biologi, dan ahli kimia.
Ianya merupakan percutian pertama mereka setelah penat bertungkus lumus menyelesaikan satu projek yang amat besar.
Setelah sekian lama tidak bercuti, mereka merasa amat terpesona dengan keindahan dan kenyamanan bayu laut. Deruan ombak yang membadai pantai menghilangkan segala tekanan kerja yang mereka tanggung.
Tetapi, fitrah mereka selaku saintis membuatkan otak mereka sentiasa ligat berfikir tentang sains dalam apa jua yang mereka lihat.
Tiba-tiba, ahli fizik berkata,“Deruan ombak itu mengingatkan aku tentang dinamik bendalir. Aku ingin masuk ke dalam laut untuk mengkajinya.”
Ahli biologi dan ahli kimia membiarkan sahaja ahli fizik masuk ke laut. Malangnya, ahli fizik lemas dan hilang dibalik ombak yang kuat.
Kemudian, ahli biologi pula berkata, “Seumur hidup aku dihabiskan untuk mengkaji flora dan fauna di daratan. Tapi aku tidak pernah tahu tentang flora dan fauna di dalam laut. Aku juga ingin masuk ke dalam laut untuk mengkajinya.”
Ahli kimia membiarkan sahaja ahli biologi masuk ke dalam laut. Dia juga sedar, tiada apa yang dapat menghalang sifat ingin tahu seorang saintis. Malangnya, ahli biologi juga hanyut dan lemas di dalam laut tersebut.
Tinggal ahli kimia keseorangan di pesisir pantai. Setelah lama berfikir, dia mengeluarkan buku notanya dan mencatat, “Ahli fizik dan ahli biologi larut di dalam air laut.”
Situasi 2
Terdapat seekor katak yang kesepian. Semua rakan-rakanya sudah menemui pasangan masing-masing kecuali dia.
Setelah sekian lama hidup keseekoran, dia mengambil keputusan untuk menghubungi pakar psikiatri. Risau juga kalau kesepiannya menjejaskan kesihatan mentalnya.
“Hello, ini pakar psikiatri ke?”
“Ya saya. Kamu kesepian ke Encik Katak?”
“Hebatnya. Belum sempat aku beritahu apa-apa, dia sudah boleh meneka. Hebat pakar psikiatri ni.”, getus katak di dalam hatinya.
Pakar psikiatri itu berkata lagi, “Jangan risau Encik Katak, sebentar lagi akan datang seorang gadis yang amat cantik. Dia amat berminat dengan Encik Katak dan ingin mengetahui segala-galanya tentang Encik.”
Katak berasa amat teruja. “Betulkan doktor? Di manakah saya akan bertemu dengannya? Adakah di majlis tari-menari?” Dia sudah membayangkan adegan tari-menari persis filem cinta.
“Tidak. Kamu akan bertemu dengannya di Makmal Biologi.”
Sejurus itu juga, talian telefon pun terputus.
Situasi 3
Minggu itu adalah minggu peperiksaan akhir di sebuah universiti. John dan Nick akan menduduki peperiksaan Termodinamik pada hari Isnin.
Tetapi, rakan mereka yang telah tamat peperiksaan lebih awal akan mengadakan satu parti pada hari Ahad malam di rumahnya, kira-kira 100 km dari kampus.
Memandangkan mereka telah memperolehi markah tugasan dan kuiz yang tinggi, mereka memutuskan untuk pergi juga ke parti tersebut dan pulang awal pagi Isnin.
John dan Nick pun berparti bagai tiada hari esok. Malangnya, mereka terjaga tidur pada jam 7.50 pagi. Apa lagi, terkejut beruklah mereka berdua, kerana peperiksaan Termodinamik bermula jam 8 pagi. Mustahil untuk mereka sampai ke kampus dalam masa 10 minit.
Menyedari yang mereka sudah terlepas untuk mengambil peperiksaan tersebut, mereka membuat keputusan untuk berjumpa dengan pensyarah mereka, Professor Stephen pada keesokan harinya. Kemudian, mereka sambung tidur.
Keesokan harinya, mereka bertemu dengan Professor Stephen. John membuat cerita yang kononnya mereka pulang ke kampung untuk menziarahi ahli keluarganya yang sakit.
Tetapi, mereka gagal pulang ke kampus sebelum peperiksaan kerana dua biji tayar kereta Nick pancit serentak di pertengahan jalan dan bantuan tiba lewat. Mereka memohon supaya dibenarkan untuk mengambil semula peperiksaan tersebut.
Setelah berfikir sedalam-dalamnya, Professor Stephen bersetuju dan meminta mereka datang ke biliknya pagi Rabu untuk mengambil peperiksaan. Seronoklah mereka berdua, rancangan berjaya. Mereka pun pulang ke hostel dan mengulang kaji pelajaran bersungguh-sungguh.
Pada pagi Rabu, mereka pun pergi ke bilik Professor Stephen untuk mengambil peperiksaan. John dan Nick ditempatkan di dalam 2 bilik yang berasingan sebelum Professor Stephen menyerahkan kertas soalan.
Setelah peperiksaan bermula, mereka berdua masing-masing membuka kertas soalan. Ada 1 soalan di muka surat pertama.
1. Nyatakan Hukum Pertama Termodinamik (5 markah).
Tersenyum John dan Nick melihat soalan yang mudah itu. Kemudian mereka selak kertas soalan ke muka surat yang seterusnya. Ada 1 lagi soalan.
2. Dua tayar yang manakah yang pancit? (95 markah).
Tiba-tiba, terdengar suara tangisan dari kedua-dua bilik tersebut. Kali ini, giliran Professor Stephen pula yang tersenyum.



