Koleksi Lawak Pendek 2

Selamat berhibur!

Situasi 1

Seorang wanita menaiki kapal terbang ke Jepun untuk menghadiri satu persidangan sains. Dia duduk di sebelah seorang lelaki yang mengaku sebagai professor sains terkemuka dari Eropah.

Lelaki itu seorang yang peramah, masalahnya dia terlampau peramah. Dia asyik bercerita tentang kehebatan dirinya sahaja kepada wanita tersebut. Antaranya dia ceritakan,

“Ramai yang kata saya ni professor paling hebat di dunia dalam bidang sains”, atau,

“Semua fakta sains ada di dalam kepala saya”, ataupun buat lawak hambar,

“Saya kerap membeli seluar baru kerana banyak yang dah terkoyak sebab terlalu banyak pujian yang saya terima”, dan macam-macam lagi.

Wanita itu malas mendengar cerita kehebatan lelaki tersebut, lantas dia membaca sebuah buku. Tapi, lelaki itu tetap bercakap tanpa henti umpama burung murai.

Setelah gagal juga untuk menarik perhatian wanita tersebut, lelaki itu memberi satu cabaran yang akhirnya membuatkan wanita itu tertarik. Lelaki itu berkata,

“Cik boleh tanya apa sahaja soalan kepada saya. Jika saya gagal menjawabnya, saya akan berikan RM 1,000 kepada Cik. Kemudian, jika Cik pula gagal menjawab soalan saya, Cik cuma perlu berikan RM 10 kepada saya.”

Wanita itu bersetuju dan terus bertanya kepada lelaki tersebut,

“Apakah, atau siapakah, yang mendaki bukit dengan 4 kaki tapi menuruni bukit dengan 3 kaki?”

Berkerut dahi lelaki itu memikirkan jawapan soalan tersebut. Habis semua buku rujukan dan notanya dibuka untuk mencari jawapan. Manakala, wanita itu berasa lega kerana sudah tiada ‘pencemaran bunyi’ di sebelahnya.

Akhirnya, setelah lebih tiga perempat tempoh penerbangan berlalu, lelaki itu mengalah dan memberikan RM 1,000 kepada wanita itu. Tetapi, memandangkan sifat inkuirinya yang amat tinggi, lelaki itu bertanya pula kepada wanita tersebut,

“Jadi, apakah jawapannya?”

Tanpa menuturkan sepatah kata pun, wanita itu memberikan RM 10 kepada lelaki tersebut sebelum menyambung bacaannya.


Situasi 2

Seorang guru pra-sekolah ingin menguji tahap penguasaan matematik anak muridnya. Lalu, dia memanggil seorang muridnya bernama Hasan dan bertanyakan soalan berikut,

“Hasan, sekiranya cikgu memberikan Hasan 2 biji epal, kemudian cikgu bagi lagi 2 biji epal, berapa biji epalkah yang Hasan ada?”

Dengan penuh keyakinan, Hasan pun menjawab,

“5 biji epal, cikgu.”

Berkerut dahi cikgu melihat wajah keyakinan Hasan. Merasakan mungkin Hasan tersalah dengar soalannya, dia mengulang kembali soalan tersebut kepada Hasan.

“Ok Hasan, cikgu tanya lagi sekali ya. Dengar betul-betul. Katakan cikgu bagi Hasan 2 biji epal, kemudian cikgu bagi lagi 2 biji epal, berapakah jumlah epal yang Hasan ada?”

“5 biji epal, cikgu.”

Sekali lagi dahi cikgu tersebut berkerut. Dia berasa pelik, Hasan merupakan seorang murid yang bijak. Tak mungkin dia gagal menjawab soalan mudah ini dengan betul. Lalu dia menukar sedikit soalannya,

“Ok Hasan, cikgu tanya lagi sekali ya. Katakan cikgu bagi 2 ekor kucing kepada Hasan, kemudian cikgu bagi lagi 2 ekor kucing. Berapakah jumlah kucing yang Hasan ada?”

“4 ekor kucing, cikgu.”

Terpancar riak kesyukuran dari wajah cikgu tersebut. Tapi dia tetap merasa pelik,

“Betul, Hasan ada 4 ekor kucing. Tapi kenapa cikgu tanya soalan epal tadi, Hasan jawab 5 biji epal? Soalannya sama sahaja.”

Dengan selambanya Hasan menjawab,

“Oh, saya sudah ada sebiji epal dalam bento saya, cikgu. Mama saya bagi pagi tadi”


Situasi 3

Dua orang pakar statistik menaiki kapal terbang dari Los Angeles untuk menghadiri sebuah persidangan di New York. Perjalanan tersebut mengambil masa lebih kurang 5 jam 30 minit.

Setelah 1 jam penerbangan, tiba-tiba kapal terbang tersebut bergegar kuat, diikuti dengan satu bunyi letupan kecil. Semua penumpang termasuk 2 pakar statistik tersebut berasa panik. Kemudian, kapten juruterbang membuat satu pengumuman,

“Hello, saya kapten kapal terbang ini. Saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa sebuah enjin kapal terbang ini gagal berfungsi. Tapi jangan risau, kita masih mempunyai 3 buah enjin yang masih elok. Namun, tempoh perjalanan kita akan bertambah 2 jam. Sekian terima kasih.”

Pengumuman tersebut melegakan para penumpang dan mereka semua menyambung urusan masing-masing. Tidak sampai sejam kemudian, kapal terbang tersebut bergegar lagi. Suasana panik tercetus sekali lagi di dalam kapal terbang tersebut.

Sejurus selepas itu, terdengar suara kapten juruterbang sekali lagi,

“Hello, kapten juruterbang di sini sekali lagi. Saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa sebuah lagi enjin kapal terbang ini gagal berfungsi. Tapi jangan risau, kita masih mempunyai 2 buah enjin yang masih elok. Namun, tempoh perjalanan kita akan bertambah 4 jam. Sekian terima kasih.”

Semua penumpang berasa lega dengan pengumuman tersebut. Namun, ada juga segelintir penumpang yang mula berasa gelisah.

Tidak sampai sejam kemudian, kapal terbang tersebut bergegar sekali lagi. Tapi kali ini, gegarannya lebih kuat berbanding gegaran sebelumnya. Majoriti penumpang ada yang mula menjerit ketakutan. Tidak lama kemudian, kapten juruterbang membuat pengumuman,

““Hello, kapten juruterbang di sini sekali lagi. Saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa sebuah lagi enjin kapal terbang ini gagal berfungsi. Tapi jangan risau, kita masih mempunyai sebuah enjin yang masih elok. Namun, tempoh perjalanan kita akan bertambah 6 jam. Sekian terima kasih.”

Dengan bantuan para pramugari bertugas, keadaan di dalam kapal terbang tersebut berjaya ditenangkan. Mereka yakin dengan keupayaan kapten juruterbang mengemudi jentera tersebut.

Tapi, keadaan ini menjengkelkan salah seorang pakar statistik tersebut. Dia kemudiannya berpaling kepada rakannya lalu berbisik,

“Lewatlah kita sampai ke destinasi kita macam ni. Kalau enjin lagi satu tu pun gagal berfungsi, tempoh perjalanan kita bertambah 8 jam pula. Aduhhh…”

Scroll to Top