Siapa tak pernah dengar peribahasa ni kan? Ianya bermaksud kejahatan yang kecil itu mestilah lekas diperbaiki supaya tidak melarat.
Secara harfiahnya, peribahasa ini juga menggambarkan bahaya api itu sendiri. Walaupun terlampau banyak kebaikan api kepada pembangunan ketamadunan manusia, ianya tetap berbahaya jika digunakan tanpa kawalan. Banyak sudah kes kebakaran yang berlaku, yang punca asalnya hanya nak bermain. Ada yang dah terkorban pun.
Bagaimanakah api boleh terhasil?
Api adalah hasil daripada pembakaran – proses reaksi kimia melibatkan bahan bakar dan oksigen. Apabila reaksi antara dua bahan ini menghasilkan haba yang cukup, maka terhasillah api.
Pasti anda tahu tentang segitiga api, kan? Apabila ketiga-tiga bahan bakar, oksigen, dan haba wujud dalam masa yang sama, ianya akan menghasilkan api. Jenis bahan bakar juga mempengaruhi keadaan api tersebut. Cuba anda teka, antara api yang terhasil daripada bahan bakar gas dan bahan bakar pejal seperti kayu, kertas, dan kain, yang manakah suhunya lebih tinggi?

Tahukah anda yang sebenarnya ada pelbagai jenis api yang boleh dibezakan mengikut suhu dan warnanya?
Warna api dipengaruhi oleh suhunya dan boleh berubah-ubah mengikut masa. Biasanya kalau kita tengok api, kita boleh nampak ada beberapa warna kan? Itu menunjukkan suhu api tu adalah berbeza pada setiap bahagian tu.
Kalau anda perhatikan betul-betul, bahagian tapak atau dasar api tu mesti warnanya yang paling cerah, berlainan dengan bahagian lain. Sebab pada setiap nyalaan api tu, suhu di tapaknya adalah yang paling tinggi.
Tahu tak dalam banyak-banyak warna api yang biasa kita lihat, yang mana mempunyai suhu paling tinggi? Api yang paling panas berwarna biru, diikuti oleh warna putih. Selain itu, warna kuning, jingga, dan merah juga adalah warna yang biasa dilihat pada api.
Kita biasa menggunakan warna biru untuk melambangkan sejuk, dan warna merah sebagai lambang panas, kan? Rupa-rupanya, api biru lebih panas dari api merah. Ironi, bukan?
Tapi, jangan pegang pula api merah tu. Suhu api merah yang kononnya “sejuk” tu boleh mencecah 525 darjah Celsius tau!
Api merah yang warnanya lebih terang, seakan-akan jingga tu, suhunya menghampiri 1,000 darjah Celsius. Suhu api jingga adalah antara 1,100 ke 1,200 darjah Celsius, manakala suhu api putih adalah antara 1,300 ke 1,500 darjah Celsius.
Berapa pula suhu api biru? Boleh mencecah 2,500 hingga 3,000 darjah Celsius tau.
Senang cerita macam ni lah. Makin terang warna api tu, maknanya makin tinggi lah suhunya. Jadi, sentiasalah berhati-hati waktu anda menggunakan api untuk apa-apa kerja pun ya!
Fakta menarik: lilin yang biasa kita pasang waktu tiada elektrik tu, suhunya boleh mencecah 1,000 ke 1,400 darjah Celsius.


