Hari ini, hampir setiap hari kita akan dengar pasal AI (Artificial Intelligence) atau kecerdasan buatan. – dari berita, media sosial, sampai ke tempat kerja.
Mungkin ramai yang dah biasa dengar, tapi apa sebenarnya yang kita tahu pasal AI?
Ada yang fikir, kalau dah boleh guna ChatGPT untuk tanya soalan, itu dah cukup faham pasal AI.
Tapi, sebenarnya AI ini lebih daripada itu. Ia bukan sekadar teknologi yang “pandai” jawab soalan, tapi satu revolusi besar yang sedang membentuk semula cara kita hidup dan bekerja.
Jadi, mari kita kenali AI dengan lebih mudah, tanpa jargon teknikal yang susah faham.
Dalam blog ini, kita akan meneroka sejarah ringkas AI, asas-asasnya, bagaimana ia berfungsi, dan contoh penggunaannya dalam kehidupan seharian.
Sejarah Ringkas AI
Ramai yang sangka AI ini baru muncul, tapi sebenarnya idea tentang mesin yang boleh “berfikir” dah wujud sejak zaman dahulu kala lagi.
AI mula dikaji secara serius pada tahun 1950 oleh Alan Turing (ahli matematik British), yang mencadangkan ujian Turing untuk menilai kebolehan mesin meniru pemikiran manusia.
Istilah “Artificial Intelligence” pula diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1956.
Walaupun pernah melalui fasa perlahan pada 1970-an dan 80-an (digelar AI Winter), teknologi ini bangkit semula pada 1997 apabila IBM Deep Blue mengalahkan juara dunia catur.
Sejak awal 2000-an, AI makin berkembang pesat dan kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita — dari carian Google, cadangan YouTube, hingga pembantu maya seperti Siri dan ChatGPT.
Apa itu AI?
AI (Artificial Intelligence) atau kecerdasan buatan merujuk kepada keupayaan mesin atau sistem komputer untuk meniru kebolehan manusia seperti berfikir, belajar, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
AI dibina menggunakan algoritma khas yang membolehkan mesin menganalisis data, mengenal corak, dan membuat ramalan atau tindakan secara automatik tanpa perlu arahan khusus setiap kali.
Dengan kata lain, AI cuba “mengajar” mesin supaya dapat bertindak secara pintar — seakan-akan mempunyai akal fikiran sendiri.
Cabang-Cabang AI
Salah satu cara utama AI belajar dan berfungsi ialah melalui Machine Learning (ML), iaitu teknik di mana mesin belajar daripada data.

Bila kita beri banyak contoh kepada mesin, ia boleh faham corak dan mula buat keputusan sendiri. Contohnya, kalau kita tunjukkan banyak gambar kucing, mesin akan belajar cam rupa kucing tu.
Dalam ML pula, ada satu cabang yang lebih canggih dipanggil Deep Learning (DL)— teknik ini guna rangkaian neural yang meniru cara otak manusia bekerja.
DL digunakan dalam teknologi seperti pengecaman wajah, suara, dan pemahaman bahasa semula jadi (contohnya macam ChatGPT).
Selain ML dan DL, AI juga merangkumi bidang lain seperti Natural Language Processing (NLP) yang membantu mesin memahami dan menghasilkan bahasa manusia, Computer Vision yang bantu mesin kenal gambar atau video, dan Robotics yang menggabungkan AI dengan pergerakan fizikal dalam bentuk robot.
Bagaimana AI Berfungsi?
AI bukanlah satu benda ajaib. Ia sebenarnya melalui beberapa proses asas untuk ‘menjadi pandai’.
Input Data – AI perlukan data sebagai “makanan otaknya”. Lagi banyak dan bersih data, lagi bagus pembelajarannya.
Training (Latihan) – Model AI dilatih menggunakan data supaya ia faham corak dan trend. Contohnya, kalau nak AI kenal kucing, kita tunjukkan ribuan gambar kucing.
Testing (Ujian) – Selepas dilatih, kita uji model tu dengan data baru. Kalau ia boleh kenal kucing baru dengan betul, maksudnya dah berjaya.
Prediction/Decision – Bila digunakan dalam dunia sebenar, AI akan mula memberi keputusan atau ramalan – contohnya ramal cuaca, kenal suara, terjemah bahasa.
Contoh Algoritma AI
Setiap sistem AI dibina berdasarkan algoritma, iaitu set langkah atau formula yang digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Untuk memudahkan pemahaman, algoritma AI boleh dikategorikan kepada beberapa kategori utama, antaranya:
Algoritma Klasifikasi
Mengklasifikasikan data ke dalam kategori atau kumpulan tertentu, Contoh: Decision Tree, Support Vector Machine (SVM), dan Naive Bayes – digunakan dalam tugas seperti pengenalan wajah, pengesanan e-mel spam, dan sistem cadangan.
Algoritma Kluster
Mengelompokkan data yang serupa tanpa memerlukan label awal. Contoh: K-Means Clustering – sesuai untuk segmentasi pelanggan, analisis pasaran, dan pengesanan pola luar biasa (anomaly detection).
Algoritma Regresi
Meramalkan nilai berterusan berdasarkan input atau pemboleh ubah. Contoh: Linear Regression dan Logistic Regression – sering digunakan dalam ramalan harga, cuaca, atau penilaian risiko.
Contoh Penggunaan AI Dalam Kehidupan Seharian
Tanpa kita sedar, kita guna AI hampir setiap hari! Antara contoh penggunaannya:
Telefon Pintar
- Pembantu suara seperti Siri, Google Assistant.
- Kamera yang auto-focus dan kenal muka.
- Teks ramalan bila taip mesej.
Media Sosial
- Algoritma yang pilih konten untuk kita lihat.
- Pengecaman wajah dalam gambar.
- Terjemahan automatik.
Kesihatan
- AI bantu doktor menganalisis X-ray.
- Sistem ramalan penyakit.
- Chatbot kesihatan.
Kenderaan
- Ciri keselamatan seperti brek automatik.
- Kereta pandu sendiri (contoh: Tesla).
Perniagaan & E-dagang
- Sistem cadangan (contoh: “Orang lain juga beli…”).
- Chatbot layanan pelanggan.
- Ramalan stok dan jualan.
Pendidikan
- Aplikasi pembelajaran yang sesuaikan kandungan ikut tahap pelajar.
- Penanda automatik esei atau jawapan pelajar.
Kesimpulan
AI bukan lagi teknologi masa depan – ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita hari ini. Dari telefon pintar, carian Google, penstriman video, hinggalah ke kereta pandu sendiri, semuanya menggunakan AI dalam pelbagai bentuk untuk membantu kita hidup dengan lebih mudah dan efisien.
Melalui penerangan dalam blog ini, anda telah mengenali asas-asas penting tentang AI, termasuk sejarahnya, cara ia berfungsi, jenis-jenis AI seperti ML, DL, NLP, dan juga contoh penggunaannya dalam dunia sebenar.
Bila kita faham apa itu AI dan bagaimana ia bekerja di belakang tabir, barulah kita boleh menggunakannya secara lebih bijak dan beretika.
Walaupun AI masih berkembang dan terus menjadi topik perbincangan terutamanya dari segi etika dan keselamatan, satu perkara yang jelas, AI akan terus memainkan peranan besar dalam membentuk masa depan dunia.
Maka, memahami AI adalah langkah awal yang penting, dan blog ini adalah permulaan yang baik untuk anda celik teknologi.
Rujukan
https://www.ibm.com/think/topics/history-of-artificial-intelligence
https://www.theknowledgeacademy.com/blog/artificial-intelligence-algorithms



