Zaman sekarang, ramai orang yang bijak berniaga dan penuh dengan kreativiti.
Tapi ada juga yang bijak tiru hasil orang lain.
Antara contoh kes tular baru-baru ini;
Khairul Aming vs Produk Tiruan:
Botol dan label Sambal “Nyet” ditiru hampir serupa. Mujur cap dagangan sudah didaftarkan. Hasilnya? Produk tiruan boleh diambil tindakan.
Telekung Siti Khadijah vs Airaz:
Mahkamah memerintahkan pampasan RM1.7 juta kepada Siti Khadijah Apparel kerana Airaz melanggar reka bentuk berdaftar Telekung “Harmoni”.
Apple vs Samsung:
Apple menang kes kerana Samsung meniru reka bentuk dan fungsi telefon yang telah dipatenkan. Ini membuktikan betapa pentingnya paten!
Kes-kes ini tunjukkan satu perkara: jika anda tak lindungi idea anda, orang lain boleh guna sesuka hati dan anda tak boleh buat apa-apa!
Sebelum perkara itu berlaku kepada anda, mari kita belajar tentang Harta Intelek iaitu perisai penting untuk melindungi idea dan ciptaan anda.
Apa Itu Harta Intelek (Intellectual Property) ?
Secara mudahnya, Harta Intelek ialah hasil kreativiti manusia yang ada nilai ekonomi seperti nama, logo, ciptaan, lagu, dan reka bentuk yang boleh didaftarkan untuk dilindungi daripada ditiru atau dicuri.
Ia tak boleh dipegang macam kereta atau rumah, tapi nilainya sangat tinggi.
Malah ada syarikat yang nilai jenamanya lebih mahal daripada semua aset fizikal mereka!
Jenis-Jenis Harta Intelek;
(a). Cap Dagangan (Trademark)
Cap dagangan melindungi nama, logo, slogan, simbol atau bunyi yang mewakili jenama produk anda.
Contoh: Nama “Teh Tarik Mamak Power” dengan logo cawan berkepul.
Bukti Pendaftaran: Anda akan terima Sijil Pendaftaran Cap Dagangan dari MyIPO beserta lengkap dengan nombor pendaftaran. Simbol ® boleh digunakan selepas cap dagangan anda berdaftar.
Tempoh sah selama 10 tahun dan boleh diperbaharui
(b). Hak Cipta (Copyright)
Hak cipta melindungi karya kreatif seperti lagu, lukisan, penulisan, filem, fotografi, dan perisian komputer.
Contoh: Lagu ciptaan sendiri, lukisan digital, atau e-book yang anda tulis.
Bukti Pendaftaran: Walaupun hak cipta wujud secara automatik selepas hasil karya dihasilkan, anda boleh mendaftarkannya secara sukarela dan dapatkan Perakuan Pendaftaran Hak Cipta, yang boleh jadi bukti kukuh di mahkamah jika berlaku pertikaian.
Tempoh sah sepanjang hayat pencipta + 50 tahun lepas kematian
Paten (Patent)
Paten melindungi ciptaan teknikal atau inovasi yang baru, melibatkan cara kerja sesuatu alat atau proses.
Contoh: Mesin kupas kelapa automatik, atau alat rawatan air yang menggunakan kaedah baru.
Bukti Pendaftaran: Anda akan terima Sijil Paten, lengkap dengan nombor paten dan tempoh perlindungan (biasanya sehingga 20 tahun).
Reka Bentuk Perindustrian (Industrial Design)
Melindungi rupa luaran produk termasuk bentuk, corak, atau susunan warna yang memberi nilai estetik.
Contoh: Bentuk bekas kosmetik yang elegan, atau rekaan botol minuman yang unik.
Bukti Pendaftaran: Anda akan diberi Sijil Pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian dengan nombor pendaftaran yang sah.
Tempoh perlindungan selama 25 tahun (5 tahun pertama + boleh diperbaharui 4 kali)
Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu (Layout-design of an Integrated Circuit)
Ini lebih teknikal ia melindungi susunan fizikal atau struktur dalaman cip elektronik, seperti mikrocip atau semikonduktor.
Contoh: Reka bentuk cip yang digunakan dalam alat kawalan jauh atau telefon pintar.
Bukti Pendaftaran: Anda akan menerima Sijil Pendaftaran Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu dari MyIPO.
Tempoh perlindungan selama 10 tahun
Petunjuk Geografi (Geographical Indication)
Melindungi produk yang mempunyai ciri atau kualiti tertentu kerana berasal dari tempat geografi tertentu.
Contoh: Musang King dari Raub, belacan Bagan Datuk, atau teh Cameron Highland.
Bukti Pendaftaran: Diberikan Sijil Pendaftaran Petunjuk Geografi, menunjukkan hak eksklusif untuk menggunakan nama lokasi tersebut pada produk.
Rahsia Dagangan (Trade Secret)
Maklumat sulit yang memberi kelebihan dalam perniagaan. Ia tak didaftarkan secara formal tapi dijaga rapi melalui perjanjian sulit.
Contoh: Resipi sos rahsia, formula produk penjagaan kulit, atau strategi pemasaran eksklusif.
Bukti Perlindungan: Tiada sijil, tetapi biasanya melalui Perjanjian Kerahsiaan (NDA) antara pemilik dan pihak-pihak lain seperti pekerja atau rakan kongsi.
Siapa Yang Patut Mohon Harta Intelek?
- Usahawan Kecil dan SME (nak lindungi jenama & produk)
- Artis, Penulis dan Komposer (nak jaga hak cipta karya)
- Pereka Produk dan Fesyen (nak elak peniruan)
- Penyelidik dan Saintis (nak monopoli paten ciptaan)
- Pembuat Makanan dan Minuman (nak lindungi resipi & jenama)
Jangan tunggu sampai produk anda terkenal baru nak daftar!
Nanti orang lain dah curi idea, anda yang susah.
Kenapa Penting Daftar Harta Intelek?
- Melindungi hak milik maka tiada siapa boleh guna tanpa kebenaran
- Elak peniruan dan plagiat
- Bina kepercayaan dan profesionalisme
- Tingkat nilai perniagaan, IP adalah aset!
- Boleh disewa, dijual, atau dilesenkan untuk jana pendapatan
- Membolehkan tindakan undang-undang jika berlaku pelanggaran
Cara Nak Daftar Harta Intelek di Malaysia
Semua permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi MyIPO:
Langkah Umum:
- Pilih jenis harta intelek yang sesuai dengan ciptaan anda
- Isi borang permohonan di laman MyIPO
- Sediakan dokumen seperti logo, rekaan, atau salinan karya
- Bayar yuran pendaftaran
- Tunggu proses semakan dan pengesahan oleh pihak MyIPO
Untuk paten dan reka bentuk yang rumit, anda boleh lantik ejen atau konsultan IP berdaftar.
Rumusan
“Zaman sekarang, orang bukan curi barang saja, tapi orang curi idea.”
Harta Intelek bukan untuk syarikat besar sahaja.
Ia milik semua pencipta dan usahawan yang mahu lindungi hasil titik peluh mereka.
Anggap ia sebagai pelaburan jangka panjang, bukan kos.
Sebab kadang-kadang, satu logo je boleh jadi bernilai berjuta-juta ringgit.
Kalau anda ada idea atau ciptaan, lindungilah sekarang.
Daftarlah Harta Intelek anda.



