Pasti anda semua sudah menggosok gigi anda pagi ini. Tapi, adakah anak-anak kita menggosok gigi mereka dengan betul?
Kita semua menggosok gigi kita setiap hari untuk memastikan gigi kita kekal bersih, sihat, dan supaya mulut kita tidak berbau. Ianya telah menjadi kelaziman kita sejak kecil lagi, sehingga kita pasti berasa tidak selesa jika tidak menggosok gigi walaupun sehari.
Namun begitu, pernahkah anda terfikir apakah kesannya jika kita berhenti terus daripada melakukan aktiviti harian kita ini?
Jawapan ringkasnya, pasti lapisan plak gigi terbentuk dan mulut kita akan berbau.
Tapi tahukah anda! gigi anda juga boleh tercabut dengan sendirinya?
Plak gigi adalah satu lapisan melekit yang menyelaputi gigi kita, terdiri daripada bakteria, sisa makanan dan air liur. Lapisan ini menyebabkan lebih banyak bakteria melekat pada gigi kita seterusnya mengotorkan lagi gigi dan mulut kita.
Tidak menggosok gigi walaupun untuk satu hari sahaja sudah cukup untuk lapisan plak gigi terbentuk dengan ketara. Kita sudah tahu plak gigi dipenuhi oleh bakteria, dan ia juga menarik lebih banyak bakteria untuk melekat pada gigi kita.
Namun, berapa banyakkah sebenarnya bakteria yang hidup di dalam mulut kita?
Lebih 6 juta bakteria daripada 700 spesis yang berbeza hidup di dalam mulut kita. Tapi jangan risau, bukan semua bakteria tersebut berbahaya kepada kita. Malah, ada juga bakteria yang menyumbang kepada kesihatan kita.
Jika anda berterusan tidak menggosok gigi selama seminggu, lapisan plak tadi akan semakin menebal dan mengeras, membentuk tartar dan menyebabkan gigi anda tidak lagi berwarna putih.
Pada waktu ini, hanya doktor gigi sahaja yang dapat membuangnya. Enamel (lapisan luar gigi) anda juga akan mula rosak disebabkan oleh kesan bakteria yang semakin banyak di dalam mulut anda.
Bau mulut anda pada waktu ini, fuhhh… Senang cerita, tidak akan ada sesiapa pun yang mahu menghampiri anda.
Gigi anda akan mula berlubang dan berongga setelah sebulan tidak menggosok gigi. Rongga ini akan semakin membesar dan akhirnya dipenuhi dengan nanah.
Eewww. Dalam masa yang sama, keradangan gusi akan berlaku yang meningkatkan sensitiviti gusi anda. Mudahnya, anda akan merasa kesakitan yang amat sangat pada gusi anda, sehingga menyukarkan anda untuk menikmati sebarang jenis makanan.
Sekiranya keadaan ini berlarutan, anda akan mula diserang oleh periodontitis. Ianya adalah satu keadaan apabila gusi anda mula mengecut dan membentuk rongga, menyebabkan lebih banyak sisa makanan dan bakteria berkumpul.
Sistem imun anda akan bertindak untuk mengelakkan jangkitan dengan memusnahkan terus gusi anda. Dan apakah yang akan terjadi tanpa gusi anda?
Ya, gigi anda akan mula gugur satu persatu. Mengerikan, bukan? Jadi, pastikan anda dan anak-anak mengosok gigi setiap hari.
Tambahan pula, bagi umat Islam, ianya juga adalah sunnah Rasulullah SAW.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda;
“Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap solat”
Jagalah kesihatan mulut anda!



