Bahayanya Gula-Gula Getah

Pernahkah anda tertelan gula-gula getah?

Admin juga penggemar gula-gula getah waktu zaman persekolahan dulu.

Rasanya yang manis, kenyal, lengkap dengan sensasi mint, sungguh menyegarkan. Setiap kunyahan merupakan senaman untuk rahang kita, disamping dapat menghilangkan rasa mengantuk.

Setelah habis kemanisannya, kita buang sisa tersebut dan capai satu lagi gula-gula getah. Begitulah keasyikan yang dirasa dek penangan gula-gula getah.

Tapi ingat! pastikan buang di dalam tong sampah ya! Usah jadi manusia tidak bertamadun yang suka menampalkan sisa gula-gula getah di merata-rata tempat.

Admin ingat lagi, pada tahun 1995 ketika zaman sekolah rendah, admin tertelan gula-gula getah. Tidak lama selepas itu, admin telah diserang penyakit radang apendiks hingga memaksa ianya dibuang.

Sejak itu, admin tidak lagi makan gula-gula getah disebabkan oleh rasa trauma terhadap makanan ringan tersebut.

Persoalannya, adakah tertelan gula-gula getah itu merbahaya?

Pertama sekali, gula-gula getah tidak akan kekal bertahun-tahun di dalam perut kita. Sistem perkumuhan seorang individu yang sihat dapat membuang sisa gula-gula getah tersebut dalam masa beberapa hari.

Tapi, sekiranya anda sentiasa menelan sisa gula-gula getah setelah puas menikmati rasanya, admin nasihatkan eloklah kiranya anda hentikan amalan tersebut. Itupun sekiranya anda ingin hidup lama.

Semua orang tahu, gula-gula getah berasal dari pokok getah, walaupun kini terdapat sesetengahnya yang diperbuat daripada getah sintetik. Ianya tidak mudah terurai seperti lain-lain makanan.

Pengumpulan sisa gula-gula getah ini akan membentuk satu ketulan keras yang tidak boleh dicerna oleh asid perut kita, yang dikenali sebagai bezoar. Bezoar ini boleh terkumpul pada saluran pencernaan dan mungkin menyebabkan saluran tersumbat.

Apakah yang akan berlaku apabila saluran pencernaan kita tersumbat?

Sisa makanan, cecair, asid gastrik, dan gas yang telah dicerna di dalam perut perlu melalui saluran pencernaan sebelum akhirnya dibuang oleh sistem perkumuhan kita.

Bayangkan semua ini tidak dapat dibuang secara lazimnya kerana saluran pencernaan anda tersumbat. Rasanya, anda sudah boleh bayangkan apakah yang akan berlaku.

Sekiranya ini berlaku, ia boleh menyebabkan perut anda berangin, cirit-birit, muntah, atau sembelit, yang pastinya menyakitkan.

Bersyukurlah sekiranya ini sahaja yang anda rasai.

Bagaimanakah jika saluran pencernaan anda tersumbat sepenuhnya?

Usus anda boleh pecah dan menyebabkan jangkitan kuman di dalam badan – sudah semestinya ini membawa kepada maut.

Aliran darah ke usus anda juga boleh terganggu, yang menyebabkan jangkitan kuman, tisu mati, sepsis, dan kegagalan fungsi organ – juga boleh menyebabkan kematian.

Sudah pasti ianya boleh dirawat melalui pembedahan. Tapi sudah pasti kita semua tidak mahukannya.

Jadi, anda masih suka menelan gula-gula getah?

Sumber: What If?

Scroll to Top