Betulkah EV Telah Wujud Sejak Pertengahan Abad Ke-19 Lagi?

Dewasa ini, pengeluar kenderaan di seluruh dunia menumpukan perhatian dan penyelidikan tentang pembangunan dan penambahbaikan kenderaan elektrik, atau ringkasnya EV, sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan kesan pemanasan global.

Tapi, tahukah anda yang EV telah wujud sejak pertengahan abad ke-19 lagi?

Pada waktu itu, terdapat 3 pilihan utama jenis kereta menyelusuri jalan raya.

Pilihan pertama adalah kereta berkuasa stim yang mampu bergerak dalam jarak jauh, tetapi memerlukan tempoh yang lama untuk memanaskan enjin.

Pilihan kedua adalah kereta yang menggunakan enjin pembakaran dalaman, mirip kebanyakan kereta yang digunakan pada masa kini. Tetapi disebabkan oleh limitasi teknologi zaman itu yang menggunakan engkol untuk menghidupkan enjin, ditambah dengan gegaran enjin yang kuat dan pembebasan asap yang banyak dan busuk, masyarakat lebih gemarkan pilihan yang ketiga.

Kami pasti anda sudah dapat mengagak pilihan kereta yang ketiga, iaitu EV yang dikuasakan oleh bateri. Selain mudah untuk dihidupkan, ianya juga bersih daripada asap dan bebas bunyi bising, menjadikan pilihan yang popular pada zaman itu terutamanya dalam kalangan wanita.

Tetapi, itu tidak bermakna EV bebas daripada sebarang masalah. Kos bateri yang mahal menjadikan EV kenderaan untuk golongan kayangan. Di samping itu, prestasi bateri yang kurang efisien juga menimbulkan masalah jangka masa panjang.

Malah, Thomas A. Edison juga berusaha keras untuk menghasilkan sebuah bateri yang mampu menyimpan lebih banyak elektrik untuk kegunaan EV. Ini diburukkan lagi dengan pengeluaran kereta Model T oleh Henry Ford pada tahun 1908 yang banyak menyelesaikan masalah terdahulu kenderaan berkuasa petrol.

Tambahan pula, harga petrol yang lebih murah mengurangkan populariti EV. Menginjak masuk 1935, boleh dikatakan EV sudah tidak lagi wujud di atas jalan raya.

Walau bagaimanapun, jangkaan kehabisan sumber petroleum dunia dan pencemaran alam sekitar sekitar tahun 1970-an menimbulkan semula minat terhadap EV. Pelbagai peraturan baru berkenaan pembebasan asap kenderaan sejak tahun 1990-an juga menyumbang kepada kelahiran semula EV.

Kemajuan teknologi masa kini telah banyak menyumbang kepada penambahbaikan yang amat ketara terhadap EV. Kini, EV boleh didapati dalam 3 variasi; hibrid, hibrid plug-in, dan elektrik penuh.

Paling utama sekali adalah, EV dapat mengurangkan kebergantungan terhadap petroleum dan juga mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Apakah pendapat anda dalam hal ini? Anda lebih gemarkan kereta dengan enjin pembakaran dalam (petrol/diesel/gas asli) atau kereta elektrik?

Sumber:

1.https://www.youtube.com/watch?v=-EG6rqA2vvA

2.https://www.energy.gov/time…/timeline-history-electric-car

Scroll to Top