Pada pendapat anda, bolehkah kita hidup hari ini tanpa sebarang produk berasaskan plastik?
Umum mengetahui tentang pencemaran plastik yang semakin membimbangkan.
Walaupun plastik pernah dianggap sebagai satu ciptaan manusia yang terhebat, tetapi pengurusan pembuangan sisa plastik yang lemah telah menyebabkan dunia kita hari ini menghadapi pencemaran plastik yang amat teruk, terutamanya terhadap lautan dan hidupan laut.
Tahukah anda ciptaan plastik telah menyelamatkan nyawa gajah suatu ketika dahulu?
Dalam tahun 1800an, ivory (gading gajah) merupakan bahan utama yang digunakan dalam pembuatan bola billiard.
Namun, setelah permintaan ivory melebihi penghasilannya, seorang pereka cipta Amerika yang juga pencipta plastik komersial, John Wesley Hyatt telah mencadangkan agar plastik digunakan untuk menggantikan ivory dalam penghasilan bola billiard pada tahun 1863.
Sejak itu, pengeluaran plastik meningkat secara drastik. Berdasarkan satu kajian oleh Pusat Pengajian Sains dan Pengurusan Alam Sekitar Bren, Universiti California, semenjak plastik dihasilkan secara besar-besaran bermula tahun 1950an;
- Dianggarkan sebanyak 8 billion tan plastik telah dihasilkan.
- Daripada jumlah itu, lebih 6 billion tan adalah sisa buangan plastik.
- Setakat 2015, kurang 10% daripada jumlah itu telah dikitar semula.
- Dan hampir 80% dibuang di tapak pembuangan sampah atau mencemarkan alam sekitar.
Dalam satu kajian lain, dianggarkan sebanyak 8 juta tan sisa plastik berakhir di dalam lautan setiap tahun. Diulangi, SETIAP TAHUN.
Masalah utama berkenaan sisa plastik adalah ianya mustahil untuk diuraikan sepenuhnya. Ia hanya terurai menjadi kecil sehingga membentuk butiran plastik kecil yang dikenali sebagai mikroplastik.
Terdapat banyak lagi fakta yang menakutkan tentang sisa plastik ini, antaranya;
- Forum Ekonomi Dunia meramalkan bilangan plastik di lautan akan melebihi jumlah ikan kurang 30 tahun dari sekarang, sekiranya kadar pembuangan sisa plastik ke lautan kekal.
- Sisa plastik telah ditemui sebanyak 3 kali di jurang terdalam di dunia, Mariana Trench, pada kedalaman 11 kilometer.
- Pengumpulan sisa plastik dan sampah terbesar di lautan adalah di Great Pacific Garbage Patch pada keluasan 1.6 juta kilometer persegi, kira-kira 4.5 kali ganda lebih besar daripada keluasan negara Jerman.
- Sisa plastik menyekat keupayaan laut untuk menyerap karbon dioksida dari atmosfera, yang memburukkan lagi perubahan iklim dunia.
- Jumlah plastik yang kita ‘makan’ setiap minggu cukup untuk membuat sekeping kad kredit. Di antara sumber plastik ini adalah dari air minuman, ikan, dan garam.
- Sektor pembungkusan merupakan penyumbang terbesar sisa plastik ini.
Menakutkan, bukan?
Pada pendapat anda, apakah kaedah yang boleh kita ambil untuk mengurangkan masalah sisa plastik ini?
Berikan pendapat anda di ruangan komen.
Kami amat berbesar hati untuk melayan setiap komen anda semua.



