Mungkin ramai yang masih tidak tahu bahawa, satu kumpulan penyelidik tempatan kita telah berjaya membangunkan satu sistem teknologi perakam gerak yang dikenali sebagai Cekak Visual 3D atau CV3D. Tujuan utamanya adalah untuk mengkaji pergerakan Silat!
Mesti anda tertanya-tanya, apakah teknologi perakam gerak ini?
Secara umumnya, perakam gerak ini atau lebih dikenali sebagai Mocap (Motion Capture) adalah teknologi yang boleh merekod atau merakam pergerakan 3 dimensi manusia atau objek dan dipersembahkan secara digital. Kebiasaannya digunakan dalam bidang animasi, perfileman, permainan video dan realiti maya.
Jadi, apakah istimewanya pula CV3D ini?

Sistem CV3D ini telah berjaya dibangunkan pada tahun 2015 oleh sekumpulan penyelidik tempatan yang diketuai oleh Dr Ghazirah Mustapha (pensyarah UiTM Permatang Pauh) bersama-sama dengan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dengan tujuan untuk mengkaji secara saintifik teknik bela diri silat khususnya Seni Silat Cekak Malaysia.
Menarik bukan?
Sistem ini juga telah memenangi beberapa anugerah dan pingat emas dalam pertandingan inovasi peringkat Kebangsaan dan juga Antarabangsa.
Antara kelebihan-kelebihan sistem ini adalah;
1. Berkos efisien: Sistem ini berkos lebih rendah dan mampu milik jika dibandingkan dengan sistem yang hampir sama fungsinya yang berada di pasaran dimana kosnya sangat tinggi.
2. Persediaan alat yang cepat: Peralatan untuk sistem ini hanyalah set kamera (Kinect), sambungan wayar dan juga laptop, jadi mudah untuk dipasang dan ditanggalkan.
3. Mudah alih: Peralatan yang kecil dan sedikit senang dipasang, disimpan dan dibawa ke mana-mana sahaja.
4. Mesra pengguna: Perisian dan pemasangan perkakas yang tidak komplek dan mudah untuk digunakan.
5. Tidak perlu penanda badan: Ketika eksperimen dijalankan, subjek tidak perlu memakai penanda pada anggota badan, hanya perlu memakai pakaian yang sesuai sudah memadai. Tempat pula hanya perlu ruang yang kecil dan pencahayaan yang mencukupi.
6. Boleh mengesan dwi-rangka badan manusia: Keupayaan sistem ini juga boleh mengesan dan merakam dua subjek iaitu orang yang menyerang dan yang mempertahankan diri serentak dalam satu masa.
Anda boleh lihat di hantaran lepas, kami ada kongsikan satu video siri Fight Science berkaitan perakam gerakan yang memerlukan pelatih memakai sut yang ada penanda >>> kajian sains seni bela diri
Jadi, bagaimana sistem ini boleh digunakan dalam kajian persilatan?
Data-data yang diperoleh daripada sistem ini seperti posisi, masa dan kelajuan setiap pergerakan anggota badan pesilat boleh diproses dan dianalisa dengan lebih lanjut untuk melihat keberkesanaan sesuatu teknik pergerakan yang diaplikasikan sebagai contoh;
Adakah teknik tangkisan Silat mampu menangkis tumbukan atau sepakan musuh?
Adakah pesilat yang bersaiz kecil atau wanita mampu menangkis serangan daripada musuh yang lebih besar dan kuat?
Adakah tumbukan dan sepakan pesilat mampu mengatasi musuh?
Apakah kesan-kesan teknik kuncian kepada musuh? Dan banyak lagi….
Selain itu, melalui data ini juga kita boleh melihat pergerakan-pergerakan pesilat dengan lebih terperinci dan kita boleh menilai sama ada pergerakan tersebut dilakukan dalam keadaan yang optimum atau tidak, ini dapat membantu mengelak kecederaan ketika berlatih.
Sistem ini juga boleh digunakan sebagai alat membantu dalam pengajaran ketika latihan terutamanya ketika pengajaran, ia dapat membantu tenaga pengajar mengajar dengan memberi penerangan yang lebih menarik dan informatif.
Walaupun sistem ini digunakan untuk mengkaji pergerakan Silat namun sistem ini juga boleh diaplikasikan kepada bidang-bidang yang lain seperti Sains Sukan, Ergonomik, Pendidikan, Pemulihan dan banyak lagi.
Kami akan kupas lebih lanjut di hantaran yang akan datang…..
Nak tahu lebih lanjut berkaitan sistem CV3D bagaimana ia berfungsi dan sebagainya boleh baca di jurnal sini >>>


