Gunung Berapi Aktif

Terlalu banyak kelebihan yang kita nikmati daripada bumi bertuah yang bernama Malaysia ini. Tanahnya yang subur, flora dan fauna yang pelbagai, mewah dengan hasil dari perut bumi, dan yang paling penting adalah rakyatnya yang hidup harmoni.

Ada satu perkara yang tiada di Malaysia, namun ketiadaannya merupakan kebaikan untuk kita semua. Ianya adalah gunung berapi!

Tahukah anda, terdapat hampir 1,500 gunung berapi yang masih aktif di seluruh dunia? Setiap benua mempunyai gunung berapi aktif, termasuklah benua Antartika. Ini hanyalah bilangan gunung berapi aktif yang berada di daratan sahaja ya. Ada juga gunung berapi aktif yang tidak terkira bilangannya berada di dalam lautan.

Bagaimanakah gunung berapi terbentuk?

Proses ini bermula daripada lapisan teras luar bumi, hampir 3,000 km di bawah permukaan bumi. Suhu di lapisan ini amat panas, hampir menyamai suhu permukaan matahari. Haba tersebut dipindahkan ke luar ke lapisan batu mantel, menyebabkan batu melebur. Leburan batu ini lebih dikenali sebagai magma.

Sifat magma yang lebih ringan berbanding lapisan batu di sekelilingnya menyebabkan magma bergerak ke atas menuju ke plat tektonik di permukaan bumi. Sekiranya tekanan magma semakin tinggi, ia akan tersembur keluar ke permukaan bumi melalui celahan antara plat tektonik, yang digelar sebagai letusan gunung berapi.

Hampir kesemua gunung berapi di bumi terletak di atas ataupun hampir dengan garisan sempadan plat tektonik. Tahukah anda, 75% daripada keseluruhan gunung berapi ini terletak di Lingkaran Api Pasifik?

Bahaya utama yang terhasil daripada letusan gunung berapi adalah aliran piroklastik, yang terdiri daripada batu panas, abu gunung berapi, dan gas toksik yang mengalir turun daripada lohong gunung berapi dan boleh mencecah kelajuan sehingga 700 km/j. Ini dilaporkan sebagai punca utama kematian penduduk Pompeii dan Herculaneum apabila Gunung Vesuvius meletus pada tahun 79 Selepas Masihi.

Namun begitu, kita tidak akan dapat menikmati keadaan dunia yang kita diami hari ini tanpa gunung berapi. Tahukah anda, gunung berapi telah membentuk lebih daripada 80% permukaan bumi kita hari ini? Lava yang diletuskan juga telah menambahkan kesuburan tanah, yang akhirnya menyebabkan tamadun manusia membangun dengan jayanya.

Kemajuan sains dan teknologi hari ini membolehkan para saintis mengkaji dan membuat jangkaan letusan gunung berapi. Di antara tanda-tanda amaran letusan gunung berapi adalah gempa bumi kecil, pembengkakkan sisi gunung berapi, dan pembebasan gas daripada lohongnya. Walau semua ini bukanlah tanda gunung berapi pasti meletus, tapi ianya membantu saintis menilai keadaan gunung berapi tersebut semasa pembentukan magma.

Rujukan:https://www.nationalgeographic.com/envi…/article/volcanoes

Scroll to Top