Ke Arah Revolusi Industri 5.0: Adakah Kita Bersedia?

“Eh, Revolusi Industri 4.0 pun tak habis lagi, tiba-tiba dah nak Revolusi Industri ke-5.0 pula?”

Pasti ramai yang terfikir begitu, kan?

Memang tidak dinafikan, ramai antara kita masih lagi cuba memahami dan menyesuaikan diri dengan Revolusi Industri 4.0 atau IR 4.0. Teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), dan Internet of Things (IoT) pun baru nak mula diterokai dalam banyak sektor.

Namun begitu, perkembangan teknologi bergerak begitu pantas. Hari ini muncul satu teknologi baharu, esok sudah ada lagi yang lebih canggih.

Dulu kita hanya bergantung kepada internet sebagai sumber maklumat, kini AI sudah mampu menjawab soalan, menulis, mencipta gambar dan malah membantu membuat keputusan!

Tapi sebenarnya, semua perkembangan ini adalah sebahagian daripada evolusi teknologi manusia yang tiada penghujungnya

Jadi, mari kita imbas kembali sedikit sejarah sebelum kita menyelami apa pula yang dimaksudkan dengan Revolusi Industri 5.0.

Sejarah Ringkas Revolusi Industri (dari 1.0 ke 4.0)

Sebelum kita menyentuh tentang Revolusi Industri 5.0, elok juga kalau kita lihat semula secara ringkas bagaimana revolusi industri bermula.

Sumber Horváth (2018)

Revolusi Industri 1.0 (1784)

Inilah permulaan revolusi industri. Ia bermula di Britain dengan pengenalan mesin wap dan penggunaan tenaga air dalam pengeluaran. Kilang-kilang mula menggantikan kerja tangan, dan ini menandakan peralihan daripada pertanian kepada perindustrian. Antara pencapaian utama masa ni ialah penciptaan mesin tenun automatik dan enjin stim oleh James Watt.

Revolusi Industri 2.0 (1870)

Revolusi ini membawa kepada pengeluaran besar-besaran (mass production) dan penggunaan elektrik secara meluas. Barisan pemasangan (assembly line) seperti yang digunakan oleh Ford dalam industri automotif telah mempercepatkan proses pengeluaran dan menurunkan kos.

Revolusi Industri 3.0 (1969)

Kali ini, teknologi komputer mula memainkan peranan utama. Penggunaan automasi, robot, dan sistem kawalan digital semakin meluas. Ia mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dan meningkatkan ketepatan serta efisiensi dalam proses pengeluaran.

Revolusi Industri 4.0 (2000)

Revolusi ini sedang kita alami sekarang. Ia dicirikan oleh integrasi teknologi digital seperti Internet of Things (IoT), AI, Big Data, Blockchain, dan automasi pintar dalam proses industri. Konsep “kilang pintar” mula diperkenalkan, di mana mesin dan sistem saling berkomunikasi tanpa banyak campur tangan manusia.

Apa Itu Revolusi Industri 5.0?

Revolusi Industri 5.0 atau IR 5.0 adalah fasa seterusnya selepas 4.0 di mana teknologi bukan sekadar menggantikan manusia, tetapi bekerjasama dengan manusia untuk mencipta nilai yang lebih tinggi.

Jika sebelum ini kita fokus kepada automasi, kecekapan, dan penggunaan teknologi seperti AI, Big Data dan IoT, kini fokusnya lebih kepada menggabungkan teknologi dengan elemen kemanusiaan.

Tujuannya adalah untuk menyelesaikan masalah sosial, meningkatkan kualiti hidup, dan memastikan tiada golongan yang tertinggal termasuk warga emas, OKU dan komuniti luar bandar.

Untuk lebih memahami konsep ini, kita boleh rujuk kepada idea “Masyarakat 5.0” (Society 5.0) yang diperkenalkan oleh kerajaan Jepun.

Konsep ini menggambarkan bagaimana masyarakat telah berkembang mengikut peringkat sejarah dunia:

  • Masyarakat 1.0:
    Hunting Society: Hidup secara memburu dan mengumpul makanan.
  • Masyarakat 2.0:
    Agrarian Society: Mula bertani dan tinggal secara menetap.
  • Masyarakat 3.0:
    Industrial Society: Revolusi perindustrian membawa kepada pengeluaran besar-besaran dan kilang.
  • Masyarakat 4.0:
    Information Society: Dunia mula di dominasi oleh komputer, internet dan maklumat digital.
  • Masyarakat 5.0:
    Gabungan antara dunia fizikal dan digital untuk mencipta gaya hidup, layanan dan nilai baharu yang lebih mesra manusia.

Dengan kata lain, IR 5.0 bukan hanya tentang mesin yang lebih canggih tapi tentang bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memperkasa manusia, meningkatkan kesejahteraan dan mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan mampan.

Contohnya, dalam bidang kesihatan, AI boleh membantu doktor membuat diagnosis lebih tepat, tapi keputusan akhir dan layanan kepada pesakit masih memerlukan sentuhan manusia.

Dalam industri kreatif pula, robot boleh bantu hasilkan produk dengan cepat, tetapi idea, reka bentuk dan seni tetap datang dari manusia.

Revolusi ini memberi penekanan kepada kerjasama antara “smart machines” dan “smart humans” iaitu teknologi membantu, bukan menggantikan.

Perbezaan Antara IR 4.0 dan IR 5.0

AspekIR 4.0IR 5.0
FokusAutomasi & TeknologiManusia + Teknologi
TujuanKecekapan & ProduktivitiNilai sosial & kehidupan lebih baik
Teknologi UtamaAI, IoT & Big DataAI kolaboratif, teknologi inklusif & etika digital
Peranan ManusiaDikurangkan dalam prosesDiperkasakan bersama teknologi
Nilai UtamaPrestasi & KemajuanEmpati, kreativiti & kemanusiaan

Cabaran Yang Perlu Diatasi

Walaupun Revolusi 5.0 kedengaran hebat, ia bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan. Ada beberapa cabaran yang perlu kita hadapi bersama:

Jurang Kemahiran (Skill Gap)
Ramai tenaga kerja masih belum bersedia dengan kemahiran baru yang diperlukan, terutamanya dalam bidang teknologi digital dan AI.

Akses Teknologi Tidak Sekata
Masih ada komuniti yang kurang akses kepada teknologi asas, apatah lagi teknologi canggih seperti robotik dan AI.

Isu Etika dan Privasi
Penggunaan teknologi pintar boleh menyebabkan kebocoran maklumat, salah guna data peribadi, dan dilema etika lain yang perlu ditangani dengan serius.

Kos Implementasi Tinggi
Peralihan kepada teknologi 5.0 memerlukan pelaburan besar dari segi infrastruktur dan latihan.

Ketahanan Sosial dan Alam Sekitar
Pembangunan mesti disertakan dengan agenda kelestarian supaya tidak memberi kesan buruk kepada masyarakat dan bumi.

Adakah Kita Bersedia?

Jawapan jujur: Sebahagian, ya. Sebahagian lagi, belum.

Malaysia sebenarnya sudah mula mengambil langkah ke arah ini. Pelan seperti “Malaysia Digital Economy Blueprint” dan inisiatif IR 4.0 oleh MITI menunjukkan kesungguhan negara.

Namun dari segi kesedaran dan penerapan di peringkat akar umbi, masih banyak perlu dilakukan.

Golongan muda mungkin lebih pantas menyesuaikan diri, tapi bagaimana pula dengan golongan pekerja berusia, penduduk luar bandar, dan sektor mikro?

Pendidikan, latihan kemahiran, serta akses teknologi yang saksama perlu dipertingkatkan.

Kesimpulan

IR 5.0 bukan sekadar tentang robot dan AI tetapi tentang bagaimana manusia dan teknologi boleh saling bekerjasama untuk mencipta dunia yang lebih baik.

Ia bukan soal menggantikan manusia, tetapi memperkasa manusia.

Untuk sampai ke tahap itu, kita perlukan kesedaran, kesediaan dan kerjasama semua pihak terutamanya dari kerajaan, industri, institusi pendidikan hinggalah kepada masyarakat umum.

Jadi, adakah kita bersedia?

Mungkin belum sepenuhnya… tapi langkah pertama ialah memahami dan mula bertindak.

Scroll to Top