Pada Isnin, 3 November 2025 baru-baru ini, sebuah inovasi pendidikan khas iaitu KognAktif telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Inovasi Emas Pertama dalam Pertandingan Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran Digital Guru Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025.


Pertandingan berprestij ini diadakan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Pulau Pinang sempena Karnival Pendidikan Digital Pulau Pinang (Penang Edutech Carnival) anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.
KognAktif merupakan satu inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan sensor pergerakan tangan yang dibangunkan bagi meningkatkan kemahiran koordinasi mata, tangan, dan kaki murid berkeperluan khas.
Ianya telah dibangunkan hasil kerjasama jitu pasukan penyelidik daripada High End Solution Research Center Sdn Bhd (HESRC), guru Pendidikan Khas dari Sekolah Kebangsaan Hashim Awang (SKHA), Kepala Batas, Pulau Pinang, Universiti Teknologi MARA Pulau Pinang (UiTMPP), dan SIRIM Kulim, Kedah.



Projek ini mengetengahkan pendekatan intervensi digital interaktif yang menyeronokkan, selari dengan hasrat memperkasa Pendidikan Khas Abad Ke-21 melalui teknologi.
Pengiktirafan ini membuktikan usaha guru-guru Pendidikan Khas dalam menerapkan elemen STEM dan intervensi cara kerja dalam bentuk permainan digital yang kreatif dan inklusif.
Kemenangan KognAktif ini bukan sahaja mengharumkan nama HESRC, SKHA, UiTMPP, dan SIRIM, malah menjadi inspirasi kepada warga pendidik untuk terus berinovasi demi memperkukuh pembelajaran murid melalui kaedah digital yang holistik, efektif dan berimpak tinggi.
Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Cradle Fund diatas sumbangan kewangan yang telah diberikan didalam usaha untuk membangunkan KognAktif melalui geran penyelidikan Cradle CIP Spark.
Semoga kejayaan ini dapat meningkatkan lagi semangat para penyelidik untuk terus berusaha menyediakan intervensi yang terbaik untuk mengembangkan lagi bakat dan potensi para pelajar Pendidikan Khas.


