Pulau Pinang, 4 Julai 2026 – HESRC dengan sukacitanya mengumumkan bahawa KognAktif, sebuah platform intervensi digital yang menggabungkan teknologi Motion Capture (MoCap) dan Kecerdasan Buatan (AI), telah berjaya meraih Anugerah Emas dalam Kolokium Kajian Tindakan & Inovasi Peringkat Kebangsaan 2026.
Program ini dianjurkan oleh Majlis Guru Cemerlang Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM). Sebanyak 177 penyertaan diterima dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, dengan 53 penyertaan dalam kategori inovasi.
Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan terhadap potensi KognAktif sebagai platform intervensi digital yang memanfaatkan teknologi moden untuk menyokong perkembangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), khususnya murid yang mempunyai Masalah Pembelajaran.



KognAktif dibangunkan dengan menggabungkan teknologi MoCap, yang membolehkan sistem mengesan pergerakan tubuh secara masa nyata, bersama algoritma AI bagi menyediakan aktiviti interaktif yang merangsang perkembangan kognitif, koordinasi motor dan kemahiran pembelajaran.
Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan sesi intervensi lebih menarik dan menyeronokkan, malah membantu meningkatkan penglibatan murid dalam aktiviti pembelajaran secara lebih aktif.
Kejayaan ini juga mencerminkan hasil kerjasama pelbagai bidang kepakaran dalam membangunkan penyelesaian inovatif yang mampu membantu mengatasi cabaran intervensi pendidikan, termasuk kekangan masa, jarak dan sumber.
Tahniah diucapkan kepada En. Hizam selaku guru Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, yang telah mewakili pasukan KognAktif dalam membentangkan projek ini kepada panel penilai sehingga berjaya memperoleh Anugerah Emas.
Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkasa pembangunan KognAktif dan memperluaskan manfaatnya kepada lebih ramai MBPK di Malaysia.


