KognAktif: Sumbangan HESRC dalam Pelancaran Pembangunan Pusat Citra Pintar SK Hashim Awang

High End Solution Research Center Sdn Bhd (HESRC) berasa sangat berbesar hati kerana dapat turut serta dalam Projek Pembangunan Pusat Citra Pintar yang dilancarkan di SK Hashim Awang, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 5 Mei 2025.

Majlis perasmian ini disempurnakan oleh Encik Shuib bin Musa, Pegawai Pendidikan Khas dari Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara.

Projek ini memberi fokus kepada usaha menyediakan pusat intervensi lengkap untuk murid berkeperluan khas.

Empat ruang khas diwujudkan iaitu Multi Sensori, Snoezelen, KognAktif dan Cybernetika, masing-masing dengan fungsi yang tersendiri untuk membantu murid belajar dengan lebih berkesan.

Bagi pihak HESRC, kami bertanggungjawab dalam pembangunan KognAktif iaitu sebuah sistem latihan maya berasaskan teknologi motion capture (MoCap).

KognAktif dibangunkan khas untuk membantu murid meningkatkan keseimbangan dan koordinasi dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif.

Apa yang menjadikan projek ini lebih istimewa adalah kerjasama erat antara pelbagai pihak, termasuk pensyarah dari UiTM dan USM, pakar dari SIRIM, serta sokongan besar daripada waris murid dan Badan Kebajikan Telekom.

Hasilnya, ruang Cybernetika juga berjaya dibangunkan dengan kelengkapan teknologi yang sesuai

Kami di HESRC percaya bahawa melalui projek ini, murid berkeperluan khas dapat merasai pengalaman pembelajaran yang lebih inklusif, moden dan mudah dicapai.

Dengan penggunaan sistem berasaskan pelayan web, akses pembelajaran tidak lagi terhad kepada perkakasan canggih, malah boleh digunakan dengan lebih meluas.

Semoga usaha ini menjadi langkah penting untuk masa depan pendidikan khas di Malaysia. Kami di HESRC sangat teruja untuk melihat bagaimana KognAktif memberi manfaat kepada murid dan guru di SK Hashim Awang, dan seterusnya ke sekolah-sekolah lain di seluruh negara.

Akhir kata, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SK Hashim Awang, khususnya Cikgu Mohd Hizam bin Hussain, atas kepercayaan dan peluang berharga untuk bekerjasama melalui projek KognAktif, yang turut menyumbang kepada kejayaan Projek Pusat Citra Pintar.

Scroll to Top