Pasti anda semua sudah biasa mendengar pepatah ini bukan?
Pepatah ini kerap digunakan untuk menggambarkan kepentingan masa. Walaupun 1 saat, ianya tetap berharga.
Pernahkah anda terfikir, siapakah (atau apakah) yang menentukan tempoh masa satu saat itu? Nampak seperti mudah sahaja jawapannya bukan?
Tempoh masa 1 saat adalah satu detik gerakan jarum saat pada jam analog, atau satu ayunan bandul, atau satu sebutan 1,001. Tapi, adakah kaedah pengiraan ini tepat dan jitu?
Bagaimanakah kita boleh mendefinisikan tempoh satu saat secara saintifik?
Sebelum itu, mari kita lihat sejarah pengenalan masa. Tamadun awal manusia mengukur masa dengan melihat corak pergerakan bulan dan bintang di waktu malam.
Manakala tempoh masa satu saat seperti yang kita gunakan pada hari ini hanya bermula pada akhir kurun ke-16, apabila kalendar Gregorian diperkenalkan di seluruh dunia melalui penjajahan British.
Seperti yang kita semua sudah maklum, kalendar Gregorian dibentuk berdasarkan satu putaran bumi yang melambangkan tempoh masa 1 hari. 1 hari kemudiannya dipecahkan kepada 24 jam, 1 jam kepada 60 minit, dan 1 minit kepada 60 saat.
Walau bagaimanapun, tempoh masa 1 saat tidak memberi makna yang signifikan pada masa itu, tidak sehingga perjalanan keretapi antara bandar dan negeri menjadi semakin pesat yang menyebabkan perlunya kepada satu sistem masa yang lebih tepat dan jitu.
Menjelang tahun 1950an, semakin banyak sistem pengurusan memerlukan pengiraan tempoh masa yang tepat sehingga ke unit saat. Dan saintis tahu, tiada yang dapat menandingi ketepatan skala atom.
Seawal tahun 1955, saintis telah mula membangunkan jam atomik bersandarkan kepada getaran malar elektron di dalam sesebuah atom apabila dikenakan sinaran elektromagnetik pada frekuensi tertentu.
Getaran malar elektron ini menyerupai ayunan bandul, cumanya ia boleh bergetar secara malar sehingga ratusan tahun. Getaran elektron juga sangat pantas, sehingga boleh mencecah hampir 10 bilion getaran per saat, menghasilkan resolusi pengukuran masa yang tiada tolok bandingnya.
Kemudian, timbul pula satu persoalan baru. Di antara 118 elemen yang wujud di dalam jadual berkala, apakah atom yang paling sesuai digunakan untuk penghasilan jam atomik?
Pada tahun 1967, saintis dari seluruh dunia berhimpun dalam Persidangan Umum Jawatankuasa Antarabangsa untuk Timbangan dan Ukuran ke-13 untuk merungkai persoalan ini.
Setelah mengambil kira beberapa faktor seperti jangka hayat dan frekuensi getaran elektron, struktur tahap tenaga yang ringkas, dan mudah untuk dijadikan wap, saintis telah memilih atom Cesium-133 untuk digunakan di dalam jam atomik.
Tahukah anda bilangan getaran atom Cesium-133 yang tepat dalam tempoh satu saat? 9, 192, 631, 770 getaran. Dan hari ini, jam atomik bukan sahaja digunakan di seluruh dunia, malah di angkasa juga.
Daripada pemancar isyarat radio sehinggalah ke satelit untuk aplikasi GPS, semua peralatan ini telah diselaraskan untuk memastikan masa yang konsisten dan tepat di seluruh dunia.
Jadi, hargailah masa kita yang masih bersisa ini. Janganlah kita bazirkannya dengan perkara yang sia-sia walaupun sebanyak 9, 192, 631, 770 getaran atom Cesium-133.



