Anda pernah menonton filem Zootopia?
Filem kartun yang ditayangkan pada tahun 2016 ini bertemakan dunia haiwan dan mengisahkan tentang kerjasama antara pegawai polis bernama Judy Hopps (arnab) dan Nick Wilde (musang) untuk menyelesaikan kes kehilangan haiwan pemangsa di bandar Zootopia.
Jika anda belum pernah menonton filem ini, admin sangat menyarankan anda untuk menontonnya. Ianya sesuai ditonton bersama-sama ahli keluarga, dan juga sarat dengan mesej-mesej positif. Hari ni admin bukan nak ceritakan tentang filem ini, tapi admin nak ceritakan tentang salah seekor watak dalam filem ini iaitu Flash, seekor sloth, yang bekerja di Jabatan Pengangkutan Mamalia.

Jika anda sudah menonton filem ini, pasti anda boleh ingat betapa perlahannya Flash (ya, namanya sangat ironi dengan karakternya) menyelesaikan masalah Judy Hopps dan Nick Wilde. Tapi tahukah anda, mengapakah sloth bergerak dengan sangat perlahan?
Nama ‘sloth’ merupakan kata pinjaman daripada Bahasa Inggeris yang membawa maksud ‘kemalasan’. Tidak hairanlah sloth bergerak sangat perlahan, namanya pun malas. Zaman Ais yang terakhir (110,000 tahun hingga 10,000 tahun dahulu) telah menyebabkan sloth gergasi pupus. Walau bagaimanapun, sloth yang bersaiz kecil selamat, bermigrasi dan menjadikan pokok sebagai habitatnya. Kini, hanya tinggal 6 spesis sloth sahaja yang masih wujud di hutan hujan Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Berbalik kepada persoalan asal tentang punca sloth bergerak perlahan. Menjadikan pokok sebagai habitat menguntungkan sloth dalam 2 perkara. Pertama, ia selamat daripada ancaman haiwan pemangsa; dan kedua, terdapat banyak daun-daunan yang merupakan diet utama sloth. Dan malang untuk sloth, daun tidak mempunyai sumber tenaga yang banyak. Tidak seperti sloth, haiwan herbivor lain juga memakan buah-buahan dan bijiran selain daun untuk mendapatkan sumber tenaga.
Memandangkan sloth (terutamanya sloth berjari kaki tiga) bergantung sepenuhnya kepada diet daun, ia memperolehi sumber tenaga yang amat kecil. Proses penghadaman makanan di dalam perut sloth yang mempunyai beberapa ruang berbeza mengambil masa antara 5 hari ke berminggu-minggu semata-mata untuk mendapatkan sebanyak mungkin tenaga daripada makanannya.
Satu lagi kaedah sloth untuk menjimatkan tenaganya sudah semestinya dengan tidak bergerak banyak. Kalau bergerak pun, pergerakannya amat perlahan. Sloth memerlukan anggaran 5 minit untuk melintasi sebatang jalan raya bersaiz sederhana. Hidupnya dipenuhi dengan makan, berehat, dan tidur.
Oleh itu, ia tidak memerlukan kandungan otot yang tinggi. Sloth mempunyai jisim otot 30% lebih rendah daripada mamalia lain yang sama saiz dengannya. Ia juga tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk memanaskan badan, kerana suhu badannya boleh turun naik lebih kurang 5 darjah Celsius.
Penyesuaian fizikal dan tingkah laku sloth ini mengurangkan kadar penggunaan tenaga sloth, ataupun kadar metabolasi. Sloth berjari kaki tiga adalah mamalia yang mempunyai kadar metabolasi yang paling rendah, diikuti oleh panda gergasi dan sloth berjari kaki dua. loth mungkin kelihatan pemalas, tapi itulah kaedah yang digunakan untuk menyesuaikan diri dengan habitatnya dan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Sumber: TedEd (Youtube)
Gambar: Flash sedang membantu Judy Hopps dan Nick Wilde


