Penulisan Kertas Kerja Akademik Bahagian 2

Sebelum ini, admin telah kongsikan secara umum berkenaan penulisan kertas kerja akademik. Sekiranya anda masih belum membacanya, anda boleh rujuknya semula melalui pautan berikut,

>> Bahagian Pertama

Sebelum mula menulis sesuatu kertas kerja akademik, tanya diri kita soalan yang paling utama dahulu.

Mengapakah kita mahu menulis kertas kerja tersebut?

Pasti sebab utama kebanyakan dari kita adalah sama ada ianya merupakan syarat untuk bergraduasi yang telah ditetapkan oleh universiti, atau untuk mengejar KPI.

Admin juga pernah berfikiran seperti itu. Walaupun tidak salah, tetapi ianya juga tidak betul sepenuhnya.

Tujuan utama penulisan kertas kerja akademik adalah untuk menyampaikan hasil kajian kita kepada dunia dengan harapan ianya dapat menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bidang kajian tersebut.

Hanya melalui penerbitan kertas kerja akademik sahajalah, kita dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang tertentu.

Setelah kita betulkan semula niat untuk menulis kertas kerja, persoalan seterusnya yang perlu kita jawab adalah; apakah persoalan kajian kertas kerja tersebut?

Sekiranya anda sudah biasa dengan dunia penyelidikan, pasti anda tahu tentang pernyataan masalah. Ianya merujuk kepada satu pernyataan secara umum tentang permasalahan yang ingin anda jawab melalui kajian anda.

Manakala, persoalan kajian pula adalah perincian yang lebih tepat tentang pernyataan masalah tersebut.

Persoalan kajian mempunyai persamaan dengan objektif kajian. Perbezaannya cuma terletak pada cara ianya disampaikan.

Persoalan kajian lazimnya dinyatakan dalam bentuk soalan, manakala objektif kajian disampaikan dalam bentuk kenyataan.

Lazimnya, satu persoalan/objektif kajian sudah cukup untuk menghasilkan satu kertas kerja akademik. Sekiranya pengajian ijazah Sarjana/Doktor Falsafah anda mempunyai 3 persoalan/objektif kajian, maka anda sepatutnya boleh menulis 3 kertas kerja akademik.

Seterusnya, apakah ciri-ciri persoalan kajian yang baik? InsyaAllah kita akan sambung perbincangan ini di hantaran yang akan datang.

Scroll to Top