Tempoh hari, kami telah kongsikan tentang bahayanya salah pengurusan sisa plastik kepada alam sekitar, terutamanya kepada lautan dan penghuninya.
Sekiranya anda terlepas perkongsian tersebut, anda boleh bacanya semula melalui pautan ini >> Bolehkah Kita Hidup Tanpa Plastik?
Walaupun fakta-fakta berkenaan sisa buangan plastik yang kami kongsikan itu agak menakutkan, tapi jangan risau! Banyak usaha yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membersihkan sisa-sisa ini dari mencemarkan lautan dan alam sekitar.
Kesedaran tentang pengurusan sisa plastik yang betul telah wujud sejak tahun 1980 lagi. Sebelum ini, semua sisa plastik ini hanya dibuang begitu sahaja.
Bermula tahun 1980, sisa-sisa plastik ini mula dibakar untuk mengurangkan sisa yang dibuang. Kitar semula mula diperkenalkan di penghujung tahun 1980an dan amalannya terus berkembang.
Kini, sekitar 45% sisa plastik ini diuruskan sama ada dengan kaedah pembakaran atau kitar semula.
Masih sedikit, tapi lebih baik dari terus dibuang begitu sahaja bukan?
Hari ini, kami ingin berkongsi kepada anda tentang penghasilan bahan bakar cecair (liquid fuel) daripada sisa plastik yang berpotensi untuk menggantikan penggunaan minyak petrol.
Apa? Minyak daripada plastik?
Ya, benar. Malah, banyak kajian telah dijalankan oleh penyelidik di seluruh dunia berkenaan perkara ini.
Antaranya, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr Hanwu Lei dari Washington State University telah mengkaji potensi penghasilan minyak jet dari proses pirolisis plastik.
Hasil kajian mereka juga telah diterbitkan di dalam sebuah jurnal berimpak tinggi (rujuk gambar di bawah).

Dr Hanwu Lei berkata:
“There is a lot of hydrogen in plastics, which is a key component in fuel. We can recover almost 100% of the energy from the plastic we tested. The fuel is very good quality, and the by-product gasses produced are high quality and useful as well. The system is also easily scalable.”
Teknologi yang digunakan oleh pasukan Dr Hanwu Lei ini bukan sahaja boleh menghasilkan bahan bakar cecair, malah ianya dapat menghasilkan bahan bakar gas juga.
Professor Linda Wang dari Purdue University juga telah berjaya menukarkan 90% sisa plastik bukan hanya kepada bahan bakar, tapi juga kepada polimer tulen.
Perlu diakui, bahawa teknologi ini belum lagi sempurna. Malah, aktivis alam sekitar mempertikai bahawa kaedah ini bukanlah satu bentuk kitar semula, kerana sisa-sisa plastik tersebut hanya boleh digunakan sekali sahaja.
Tambahan pula, menukarkan sisa plastik tersebut tidak mengurangkan bencana dari sisa tersebut, kerana pembakarannya tetap menyumbang kepada kesan rumah hijau.
Apakah pendapat anda tentang isu ini? Berikan pendapat anda di ruangan komen.
Kami amat berbesar hati untuk melayan setiap komen anda semua.



