Sebelum ini, kita telah membincangkan sedikit sebanyak tentang apakah itu penulisan kertas kerja akademik, mengapakah kita perlu menulisnya, dan persoalan/objektif kajian yang baik. Sekiranya anda telah terlepas perkongsian kami yang terdahulu, anda boleh membacanya semula di sini;
>> Bahagian 1
>> Bahagian 2
>> Bahagian 3
Ingat ya, persoalan kajian yang terperinci dan lengkap akan memudahkan anda untuk menulis sebarang jenis kertas kerja. Asasnya, permulaan sesuatu kertas kerja akan bertanyakan soalan (persoalan kajian), dan anda perlu menjawabnya secara menyeluruh dengan baik.
Namun, bagaimanakah anda harus menjawabnya? dan bagaimanakah struktur sebuah kertas kerja yang baik?
Pada dasarnya, terdapat lima komponen utama di dalam sesebuah kertas kerja penyelidikan;
- Abstrak (Abstract): menjelaskan keseluruhan isi kandungan kertas kerja dengan ringkas dan padat,
- Pengenalan (Introduction): menerangkan permasalahan yang ingin anda selesaikan – iaitu persoalan kajian,
- Metodologi (Methodology): huraian lengkap dan terperinci tentang kaedah / prosedur / metodologi yang anda gunakan untuk menjawab persoalan kajian,
- Keputusan (Result): menyatakan pemerhatian yang diperolehi dalam bentuk yang mudah difahami, seperti graf, jadual, dan gambar rajah,
- Perbincangan (Discussion): membincangkan hasil keputusan yang diperolehi berdasarkan pemahaman anda dalam isu tersebut.
Kebiasaannya, setiap kertas kerja akan dimulakan dengan satu perenggan Abstrak, lebih kurang 200 ke 300 patah perkataan bergantung kepada format sesuatu persidangan atau jurnal ianya dihantar. Abstrak bukanlah petikan daripada kertas kerja tersebut; ia adalah penulisan yang asli yang merumuskan keseluruhan kertas kerja secara ringkas dan padat.
Ringkasnya, isi utama daripada komponen Pengenalan, Metodologi, Keputusan, dan Perbincangan seharusnya dinyatakan di dalam Abstrak. Ianya juga mestilah munasabah dengan sendirinya tanpa perlu merujuk kepada mana-mana sumber luaran atau isi kertas kerja tersebut.
Oleh sebab ianya menjelaskan dan merumuskan keseluruhan isi kertas kerja, maka Abstrak selalunya disiapkan diperingkat akhir penulisan.
Pengenalan seterusnya menyusul sejurus selepas Abstrak. Ianya merupakan komponen yang paling penting di dalam sesebuah kertas kerja. Tahukah anda, Pengenalan yang tidak ditulis dengan baik boleh memberikan impak negatif di mata panel penilai?
Lebih buruk lagi, ianya boleh menyebabkan kertas kerja anda ditolak.
Apakah yang menyebabkan ini berlaku?
Nantikan perbincangan seterusnya di perkongsian akan datang.



