Di akhir Bahagian 4 perbincangan tentang penulisan kertas kerja sebelum ni, admin ada menyatakan yang “Pengenalan yang tidak ditulis dengan baik boleh memberikan impak negatif di mata panel penilai.” Tapi, mengapa begitu?
Pengenalan yang lemah boleh menyebabkan panel penilai menganggap kajian anda juga tidak dilakukan dengan baik. Sekiranya panel penilai sudah berpandangan negatif terhadap manuskrip anda, sudah tentu peluang untuk ianya diterbitkan menjadi rendah.
Dan sudah pastinya kita tak mahu perkara sebegitu terjadi kepada manuskrip kita!
Pengenalan merupakan bahagian kertas kerja yang paling penting!
Dan semestinya apabila ianya bahagian yang terpenting, maka ianya juga paling sukar untuk ditulis.
Hari ni, admin kongsikan tips mudah untuk menulis bahagian Pengenalan.
Pengenalan yang baik terdiri daripada tiga perenggan yang jelas dan nyata:
(a) Latar belakang kajian,
(b) Ulasan kritis kajian terdahulu dengan terperinci, dan
(c) Kepentingan dan sumbangan hasil kajian anda.
Namun begitu, ianya tidak bermakna yang anda tak boleh tulis lebih daripada tiga perenggan. Terdapat banyak contoh kertas kerja yang Pengenalannya ditulis dengan panjang. Walau bagaimanapun, setiap perenggan tersebut mestilah mampu membawa pembaca untuk memahami pernyataan masalah yang telah dikaji dengan lebih mendalam dari pelbagai sudut. Tapi, elakkan daripada Pengenalan yang terlalu panjang, dikhuatiri pembaca keliru atau pernyataan masalah kajian anda menjadi kurang jelas.
“Saya selalu tiada idea nak mula menulis ayat pertama dalam bahagian Pengenalan ni. Boleh tak admin tolong bagi tips sikit?”
Boleh, kenapa tak boleh pula.
Mulakan perenggan pertama anda dengan satu pernyataan yang umum perihal bidang kajian anda. Sebagai contoh, sekiranya kajian anda berkisar tentang kesan kandungan air yang tinggi dalam sisa biomas terhadap kualiti bahan bakar, boleh mulakan perenggan dengan:
“Sisa biomas dengan kandungan air yang tinggi seperti sisa makanan dan pertanian memerlukan tenaga yang tinggi untuk menukarkannya menjadi bahan bakar.”
Jangan pula anda rujuk ayat pertama ini kepada mana-mana rujukan ya. Sebab ianya hanyalah satu kenyataan yang umum, maksudnya ianya telah diketahui ramai dalam bidang kajian tersebut. Ayat kedua, ketiga, dan seterusnya dalam perenggan pertama ini mestilah memandu pembaca ke arah masalah yang kajian anda cuba selesaikan; termasuklah kajian-kajian terdahulu yang berkaitan. Akhiri perenggan pertama anda dengan menyatakan masalah yang masih belum diselesaikan (novelty!), dengan menggambarkan yang anda ingin menyelesaikannya.
Kemudian, untuk perenggan kedua (atau yang seterusnya), anda perlu menerangkan secara kritis dan terperinci tentang kajian-kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik terdahulu yang berkaitan dengan isu dalam kertas kerja anda. Kajian literatur anda ini mestilah menjelaskan sebarang kekangan dalam kaedah kajian yang telah dilakukan oleh penyelidik terdahulu yang akan anda atasi dalam kajian anda. Sertakan sumber rujukan yang terkini ya!
Tips: masukkan juga beberapa sumber rujukan daripada jurnal yang anda bercadang untuk hantar kertas kerja anda. Ianya menunjukkan yang anda mengikuti perkembangan jurnal tersebut dan betul-betul minat untuk menghantar kertas kerja anda ke situ.
Di penghujung peranggan ini, nyatakan satu rumusan umum tentang kekangan yang dihadapi oleh penyelidik terdahulu di dalam kaedah kajian mereka.
Akhir sekali, perenggan terakhir dalam bahagian Pengenalan ini mestilah menjelaskan fokus kertas kerja anda (objektif) dan bagaimanakah ianya boleh menyelesaikan masalah-masalah yang telah dialami oleh penyelidik terdahulu, seperti yang anda telah nyatakan di perenggan kedua.
Kalau anda terlepas perkongsian tentang penulisan kertas kerja akademik yang terdahulu, anda boleh baca semula di pautan berikut;
Nantikan perbincangan seterusnya di perkongsian akan datang.



