Plagiarisme: Jenayah Senyap yang Menghancurkan Dunia Akademik

Pernahkah anda menyalin ayat dari internet untuk dimasukkan dalam tugasan anda tanpa menyatakan sumbernya?

Atau anda “pinjam” perenggan dari buku tanpa kredit kepada penulis asalnya?

Jika ya, besar kemungkinan anda telah melakukan plagiarisme iaitu satu jenayah akademik yang kian berleluasa di institusi pengajian seluruh dunia.

Dalam dunia yang meraikan ilmu dan keaslian idea, plagiarisme bukan sekadar kesalahan teknikal malah ia merupakan pencabulan kepada etika penulisan

Dan boleh memberi kesan buruk kepada reputasi, kerjaya, dan kredibiliti seseorang.

Lebih parah, ia juga mengancam integriti ilmu itu sendiri.

Apa itu Plagiarisme?

Perkataan “plagiarisme” berasal daripada perkataan Latin plagiarius yang bermaksud “penculik”.

Dalam konteks akademik, ia merujuk kepada perbuatan mencuri hasil karya orang lain sama ada idea, ayat, struktur, atau data dan kemudiannya mengakuinya sebagai milik sendiri tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

Menurut World Association of Medical Editors (WAME), plagiarisme ialah penggunaan idea atau perkataan yang telah diterbitkan atau belum diterbitkan oleh orang lain tanpa kebenaran dan tanpa menyatakan sumbernya, serta mengemukakannya sebagai sesuatu yang baharu dan asli.

Jenis-Jenis Plagiarisme yang Wajib Diketahui

Berdasarkan kajian oleh Dhammi dan Haq (2016), terdapat pelbagai bentuk plagiarisme yang berlaku dalam dunia akademik. Setiap satunya perlu difahami dengan jelas agar dapat dielakkan, antaranya:

  1. Plagiarisme Verbatim (Verbatim Plagiarism)
    Menyalin bulat-bulat teks atau ayat dari sumber lain tanpa pengubahsuaian dan tanpa menyatakan sumber. Ini adalah bentuk paling mudah dikesan dan paling jelas melanggar etika.
  2. Plagiarisme Parafrasa (Verbatim Paraphrasing)
    Menyampaikan semula idea orang lain dengan menukar beberapa perkataan, tetapi tidak menyatakan sumber. Walaupun ayat nampak berbeza, namun intipati masih milik penulis asal.
  3. Plagiarisme Mosaik (Mosaic Plagiarism)
    Dalam bentuk ini, penulis mencampur adukkan perkataan sendiri dengan idea atau frasa dari sumber asal secara tampalan (patchy), tanpa memetik sumber dengan betul.

    Contohnya, pelajar mengambil beberapa baris daripada pelbagai sumber lalu mengubah sedikit susunan ayat dan menyatukannya dalam satu perenggan namun tanpa memberi kredit kepada penulis asal. Bentuk ini agak sukar dikesan tetapi tetap diambil serius dan dianggap tidak jujur
  4. Plagiarisme Diri Sendiri (Self Plagiarism)
    Menggunakan semula artikel, tugasan, atau data yang pernah diterbitkan untuk penerbitan lain tanpa kebenaran. Ini termasuk:

Penerbitan Pendua (Duplicate Publication) – Menghantar artikel sama ke dua jurnal berbeza

Penerbitan Bersegmen (Segmented Publication) – Memecah kajian besar kepada beberapa artikel kecil tanpa menyatakan hubungan antara satu sama lain

Kitar Semula Teks (Text Recycling) – Mengitar semula perenggan dari artikel lama yang telah diterbitkan ke artikel baru

Penerbitan Tambahan (Augmented Publication) – Menambah sedikit data kepada kajian terdahulu dan menerbitkannya semula sebagai kajian baharu tanpa menyatakan sebarang hubungan dengan penerbitan asal.

  1. Plagiarisme Siber (Cyber Plagiarism)
    Menyalin maklumat dari internet seperti blog, Wikipedia, laman web berita atau forum tanpa memberikan kredit kepada sumber asal. Perkara ini sangat biasa berlaku dalam kalangan pelajar kerana maklumat terlalu mudah dicapai.
  2. Plagiarisme Imej (Image Plagiarism)
    Menggunakan imej atau carta penyelidikan dari sumber lain tanpa kebenaran atau mengubah suai imej untuk mengelirukan pembaca.

Mengapa Plagiarisme Berlaku?

Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong seseorang melakukan plagiarisme:

  • Kurangnya kesedaran tentang etika penulisan.
  • Tekanan untuk menghasilkan penerbitan demi kenaikan pangkat atau graduasi.
  • Kekurangan masa dan sumber untuk menghasilkan idea asli.
  • Ketidaktahuan cara membuat rujukan atau parafrasa dengan betul.
  • Pengaruh teknologi dan kemudahan capaian maklumat.

Implikasi dan Hukuman Plagiarisme

Walaupun plagiarisme bukan jenayah di sisi undang-undang, ia merupakan kesalahan besar dalam dunia akademik.

Antara hukuman yang boleh dikenakan oleh institusi pendidikan atau penerbit jurnal ialah:

  • Penolakan artikel yang dihantar.
  • Penarikan semula artikel yang telah diterbitkan (retraction).
  • Gagal dalam tugasan atau kursus.
  • Penyingkiran dari program pengajian.
  • Kehilangan jawatan akademik atau profesional.

Menurut garis panduan Committee on Publication Ethics (COPE), jika editor mengesyaki plagiarisme, mereka wajib menyiasat dan boleh melibatkan majikan atau institusi berkaitan untuk tindakan lanjut

Cara-Cara Mengesan dan Mengelakkan Plagiarisme

Teknologi kini banyak membantu dalam mengesan plagiarisme dengan kewujudan perisian seperti Turnitin, Plagiarism.org, dan iThenticate.

Namun begitu, semakan manusia seperti oleh penyemak jurnal, penyelia, atau pensyarah berpengalaman tetap penting kerana ada bentuk plagiarisme yang tidak dapat dikesan sepenuhnya oleh perisian.

Beberapa langkah praktikal yang boleh diambil untuk mengelakkan plagiarisme termasuk:

  • Sentiasa nyatakan sumber – Apa sahaja maklumat yang diperoleh daripada buku, jurnal, laman web, atau kuliah perlu diberikan rujukan dengan tepat.
  • Belajar teknik parafrasa yang betul – Jangan hanya tukar beberapa perkataan; ubah struktur ayat sambil mengekalkan maksud asal.
  • Gunakan tanda petikan (“…”) – Jika anda menyalin ayat secara langsung daripada sumber asal.
  • Gunakan gaya rujukan standard – Seperti APA, MLA, atau IEEE bagi memastikan format rujukan anda konsisten dan diterima.
  • Dapatkan kebenaran – Jika anda ingin menggunakan kandungan orang lain secara meluas seperti gambar, jadual atau teks panjang.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan khidmat luar daripada pihak yang pakar seperti pembaca pruf atau penyunting bahasa.

Mereka bukan sahaja membantu mengenal pasti kesalahan bahasa dan struktur, tetapi juga boleh menyemak aspek etika penulisan serta memastikan rujukan dibuat dengan betul. Ini amat berguna terutama bagi pelajar, penyelidik atau penulis yang ingin menghantar tesis, artikel atau penerbitan jurnal.

Jika anda memerlukan bantuan, anda boleh hubungi kami. Kami antara yang menyediakan khidmat semakan dan penambahbaikan penulisan akademik secara profesional.

Cabaran Baharu: Plagiarisme dalam Era Kecerdasan Buatan

Dengan kemunculan alat seperti ChatGPT, DeepSeek dan seumpamanya, penggunaan kandungan yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat.

Walaupun AI dapat membantu dalam proses penulisan, penggunaannya tanpa sebarang pengubahsuaian atau tanpa memberikan pengiktirafan kepada sumber asal masih boleh dianggap sebagai satu bentuk plagiarisme.

Oleh itu, pelajar dan penyelidik perlu menggunakan AI sebagai alat sokongan, bukan sebagai pengganti kepada pemikiran kritikal dan penulisan asli mereka.

Penutup

Plagiarisme mungkin nampak remeh bagi sesetengah orang, tapi sebenarnya ia adalah “jenayah senyap” yang boleh menjatuhkan reputasi dan masa depan seseorang dalam dunia akademik.

Melalui blog ini, kita dapat lihat apa maksud sebenar plagiarisme, jenis-jenisnya, kenapa ia berlaku dan macam mana nak elak.

Zaman sekarang pula makin mencabar dengan wujudnya AI seperti ChatGPT dan DeepSeek jadi kita kena lebih berhati-hati. Gunakan teknologi sebagai alat bantu, bukan jalan pintas.

Menulis dengan jujur bukan saja tunjukkan integriti, tapi juga bukti kita benar-benar faham dan hargai ilmu.

Rujukan

Dhammi I.K & Haq UI. R. (2016). What is plagiarism and how to avoid it? Indian Journal of Orthopaedics, 50(6), 581–583.

Committee on Publication Ethics. Guidelines on Good Publication and the Code of Conduct.
Available at: http:// www.publicationethics.org.uk/guidelines.

World Association of Medical Editors. Publication Ethics Policies for Medical Journals.
Available at: https://www.wame.org/recommendations-on-publication-ethics-policies-for-medical-journals

Scroll to Top