Tahukah anda, tenaga angin berupaya menghasilkan tenaga kinetik yang cukup untuk menjana anggaran sebanyak 35 kali ganda tenaga elektrik yang kita gunakan setiap hari?
Presiden Amerika Syarikat yang ke-16, Abraham Lincoln (1809 – 1865) pernah meramalkan penjanaan kuasa elektrik melalui tenaga angin. Memetik kata-kata beliau;
“Of all the forces of nature, I should think the wind contains the largest amount of motive power – that is, power to move things. Take any given space of the earth’s surface – for instance, Illinois; and all the power exerted by all the men, and beasts, and running-water, and steam, over and upon it, shall not equal the one hundredth part of what is exerted by the blowing of the wind over and upon the same space.”
“And yet it has not, so far in the world’s history, become proportionably valuable as a motive power. It is applied extensively, and advantageously, to sail-vessels in navigation. Add to this a few windmills, and pumps, and you have about all.”
“As yet, the wind is an untamed, and unharnessed force; and quite possibly one of the greatest discoveries hereafter to be made, will be the taming, and harnessing of it.”
Abraham Lincoln (1809 – 1865)
Dan hari ini, ramalan beliau sudah pun menjadi kenyataan. Berdasarkan laporan daripada Center for Climate and Energy Solutions, tenaga angin adalah sumber tenaga boleh diperbaharui yang kedua terbesar selepas tenaga hidro.

Ia menghasilkan kapasiti elektrik global sebanyak 591 GW, iaitu lebih 5% jumlah kapasiti elektrik dunia pada tahun 2018. Penggunaan tenaga angin untuk memudahkan urusan kerja manusia telah lama dipraktikkan sejak ribuan tahun dahulu.
Namun, kincir moden angin seperti yang kita lihat pada hari ini mula muncul sekitar abad ke-8 dan 9 di Timur Tengah dan Asia Barat, yang awalnya dipelopori oleh umat Islam di situ.
Tahukah anda bagaimana tenaga elektrik dihasilkan daripada tenaga angin?
Pasti anda pernah melihat kincir angin moden. Prinsip asasnya mudah sahaja. Beberapa batang bilah (lazimnya tiga batang) yang bersambung pada rotor akan berputar apabila ditiup oleh angin. Putaran ini (tenaga kinetik) akan turut memutarkan generator yang akan menghasilkan tenaga elektrik dan seterusnya dihantar ke grid.
Terdapat 3 faktor utama yang mempengaruhi jumlah tenaga elektrik yang dihasilkan. Saiz bilah dan orientasi rotor (orientasi menegak atau mendatar), reka cipta aerodinamik bilah (bilah rata atau melengkung), dan jumlah angin yang memutarkan rotor.
Kecekapan kincir angin yang tinggi boleh diperolehi melalui penggunaan saiz bilah besar, orientasi rotor mendatar, dan bilah melengkung. Walau bagaimana cekap operasi sesebuah kincir angin, ia hanya dapat berputar dalam keadaan yang berangin sahaja.
Kebiasaanya, kelajuan angin bertambah dengan ketinggiannya dari paras laut. Maka, kebanyakkan kincir angin moden mempunyai ketinggian melebihi 100 meter dan diameter rotor yang besar.
Tahukah anda, kincir angin yang paling berkuasa, paling tinggi, dan paling besar adalah kincir angin Haliade-X yang dihasilkan oleh General Electric (GE). Ia mempunyai ketinggian 260 meter (hingga hujung bilah), diameter rotor 220 meter, dan mampu menghasilkan kuasa elektrik sebanyak 12 MW.
Ia juga memegang rekod penjanaan kuasa elektrik tertinggi dalam tempoh 24 jam, iaitu sebanyak 312 MWh. Untuk memudahkan lagi gambaran kehebatan kincir angin Haliade-X ini, operasi sebuah sahaja kincir angin ini mampu menjana tenaga elektrik tahunan yang cukup untuk 16,000 rumah di Eropah.
Hebat bukan? Akan tetapi, walau sebesar manapun sesebuah kincir angin, kecekapan maksima yang boleh dicapainya adalah 59.26% yang ditemui oleh ahli fizik Jerman, Albert Betz pada tahun 1919.
Lazimnya, kincir angin beroperasi pada kecekapan sekitar 40%. Walaupun begitu, tenaga angin merupakan sumber tenaga yang paling cekap dan paling murah berbanding sumber tenaga lain seperti geothermal, solar, gas asli, dan nuklear.
Namun begitu, dengan potensi tenaga angin yang tinggi, bolehkah ianya dipraktikkan di Malaysia? Kongsikan pendapat anda.