Kita sekarang hidup di dalam zaman di mana penggunaan gajet elektronik (e.g. telefon pintar, tablet, computer riba, dsb) adalah satu keperluan, bukan lagi satu kehendak.
Hampir semua urusan boleh dilakukan melalui gajet. Pembayaran bil utiliti, pemindahan wang, membeli perkakas rumah, menonton filem, dan banyak lagi perkara yang dapat kita buat sambil menikmati keselesaan sofa yang empuk di rumah kita sendiri.
Bukan kita sahaja, malah kanak-kanak juga gemar menggunakan gajet sehinggakan ada antara mereka yang sudah ketagih dengannya. Lambakan video mengasyikkan yang sememangnya mensasarkan golongan kecil ini di pelbagai platform nyata memburukkan lagi keadaan.
Rasanya tidak perlu kami jelaskan lagi tentang bahaya penggunaan gajet secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak. Banyak kajian telah dilakukan oleh pakar yang menunjukkan kemudaratannya dari aspek perkembangan fizikal, mental, dan emosi.
Hari ini, kami ingin kongsikan dengan anda bagaimanakah cara mereka yang turut menyumbang kepada kemajuan hari ini mengawal penggunaan teknologi, terutamanya terhadap anak-anak mereka.
Siapa yang tidak kenal mendiang Steve Jobs? Beliau merupakan pengasas syarikat pengeluar telefon pintar popular, iPhone. Penulis buku “Steve Jobs”, Walter Isaacson telah memberitahu New York Times pada tahun 2014,
“Setiap malam, Steve menegaskan yang mereka sekeluarga mesti makan malam bersama-sama sambil membincangkan tentang buku, sejarah, dan pelbagai topik lagi.”
“Tiada sesiapa yang pernah menggunakan iPad atau komputer ketika makan. Anak-anaknya kelihatan tidak ketagih dengan semua gajet itu.”
Begitu juga cara didikan yang dipraktikkan oleh pengasas Microsoft, Bill Gates. Malah, beliau tidak memberi akses telefon pintar kepada anak-anaknya sehingga mereka masuk usia remaja. Ujar beliau,
“Tiada telefon di meja makan ketika kami sedang menikmati hidangan, kami juga tidak memberikan telefon pintar kepada anak-anak kami sehingga mereka berusia 14 tahun, dan mereka merungut kerana rakan-rakan mereka yang lain semua sudah mempunyainya lebih awal.”
Mark Cuban, seorang bilionair teknologi pula menggunakan aplikasi mobil pada telefon pintarnya untuk memantau telefon pintar anak-anaknya. Dia juga mengaku bahawa dia membayar 150 dollar kepada anak lelakinya untuk tidak menonton video Minecraft selama 2 bulan.
“Tapi, dia boleh menonton semula video Minecraft tersebut sekiranya dia telah menonton video berkaitan Matematik atau telah menyelesaikan masalah Matematik untuk aku”, ujarnya lagi.
Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah ini?
Seiring dengan kemajuan teknologi yang amat pesat, janganlah kita benarkan teknologi itu mengawal kehidupan kita.
Kita yang sepatutnya kawal teknologi, bukan sebaliknya.
Tidak salah kita menggunakan kemudahan yang ditawarkan oleh gajet-gajet ini. Malah, ianya banyak memudahkan urusan seharian kita. Tambahan pula dalam musim persekolahan melalui PdPR ini. Tapi, jangan sampai ianya memakan diri dan keluarga kita.
Tetapkan masa yang sewajarnya jika anak-anak kita ingin menonton video kartun atau bermain permainan video di telefon bimbit. Mereka masih mentah untuk tahu keburukan perbuatan mereka itu. Kita sebagai pembimbing dan penjaga mereka perlu memainkan peranan penting untuk mengawalnya sebelum terjadi perkara yang tidak diingini.
Sentiasalah bersederhana dalam apa jua yang kita lakukan, termasuklah penggunaan gajet. Semoga hantaran ini memberi manfaat kepada kita semua.



